Pada ketika artikel ini ditulis skuad B-23 negara sudah pun mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai, Hanoi.
Seramai 24 pemain dibawa ke Hanoi, Vietnam untuk acara bola sepak Sukan SEA kali ini, dan Ketua Jurulatih, Brad Maloney dijangka akan mendaftarkan 20 pemain secara rasmi pada Jumaat ini.
Manakala empat lagi pemain akan berada di dalam senarai bersedia – tatkala temasya pada kali ini membenarkan setiap pasukan mendaftarkan sehingga 50 pemain sekiranya diperlukan ekoran pandemik yang melanda.
Siaran Media: Senarai 24 Pemain Skuad B-23 Kebangsaan Ke Hanoi, Vietnam Bagi Menghadapi Sukan SEA 2021
▶️ Baca penuh siaran media ini di https://t.co/jaqoTX59qH#FAM #HarimauMalaya #Vietnam2021 pic.twitter.com/FXLvjMDfsq
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) May 3, 2022
Tatkala ramai yang menganggap temasya kali ini akan menjadi medan untuk Brad Maloney melakukan eksperimen mendedahkan barisa pemain kepada seberapa banyak mungkin perlawanan menjelang Kejohanan AFC B-23 di Uzbekistan pada Jun nanti, penyerang utama pasukan negara, Luqman Hakim Shamsuddin mempunyai nada berbeza.
Malah pemain yang berpengkalan di Belgium bersama KV Kortrijk itu percaya barisan pemain yang dihimpunkan kali ini memiliki cukup ramuan untuk membawa pulang pingat.
Hanya kilauan emas
“Harapan saya untuk pasukan ini sudah tentu nak pingat emas, bukan perak atau gangsa. Sasaran emas sahaja,” kata Luqman seperti yang dipetik daripada Bernama.
“Pasukan sudah membuat persiapan terbaik. Kita sudah bermain aksi persahabatan dengan Timor Leste dan Filipina.
“Perlawanan persahabatan ini telah membentuk persefahaman yang baik dalam pasukan,” katanya ketika ditemui pemberita semasa sesi latihan terakhir skuad negara di Kompleks Sukan PKNS semalam.
Skuad kendalian Brad Maloney berhadapan tugas berat di Sukan SEA kali ini dan akan mula turun beraksi menentang Thailand pada 7 Mei ini.
Harapan Maloney
Walaupun sedar ia bukannya tugas mudah, Maloney percaya barisan anak buahnya, khususnya di jentera tengah mampu memainkan peranan penting membantu pasukan untuk meraih kemenangan.
“Saya rasa kita mempunyai pemain yang mampu mencorakkan permainan seperti Mukhairi Ajmal Mahadi, Nik Akif Syahiran Nik Mat, Muhammad Azri Ab Ghani, Ahmad Zikri Mohd Khalili dan Muhammad Azrin Afiq Rusmini. Saya percaya kesemua pemain ini mempunyai kualiti dan pengalaman.
“Bagi Hadi Fayyadh (Abdul Razak) dan Luqman Hakim pula, saya sangat lega mereka dapat kembali menyertai pasukan. Prestasi mereka pada tahap terbaik walaupun baru tiba dari luar negara,” katanya.
Selepas Thailand, pasukan negara akan turun menentang Laos pada 11 Mei, sebelum berhadapan Singapura tiga hari kemudian.
Cabaran di peringkat Kumpuan B akan diakhiri pada 16 Mei menentang Kemboja. Malaysia perlu menempatkan diri sebagai dua pasukan terbaik Kumpulan B untuk menempatkan diri ke separuh akhir dan peluang membawa balik pingat dari Hanoi.