Ini bukan lagi tentang kisah kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) mara ke pusingan 16 terbaik AFC Champions League (ACL) 2022, tetapi kita mahu melihat kepada kelebihan jika sepak mula adalah pada jam 5.00 petang.
Jika menurut pemilik JDT, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ), bermain pada waktu petang membantu mereka menekan lawan di saat akhir sehingga berhasil meledak gol kemenangan, salah seorang pemerhati bola sepak tempatan yang juga Editor di Goal Asia, Ong Kin Fai pula melihat impak lain.
Menurutnya, mungkin operator Liga Malaysia, Malaysian Football League (MFL) boleh melihat kepada perkara ini untuk dipertimbangkan. Sepak mula perlawanan jam 5.00 petang berbanding jam 8.15 malam sehingga 9.00 malam pada ketika ini, dilihat boleh memberi impak yang sangat baik di segenap aspek dari pelbagai sudut.
Ruang masa yang panjang buat media
Kita tahu, dalam saingan Liga Malaysia, satu-satu perlawanan akan berakhir paling lewat adalah pada jam 11.00 malam. Apa lagi yang boleh diproses segera oleh pihak media terutamanya media cetak pada jam sebegitu?
Untuk media online seperti Semuanya BOLA, perkara ini tiada masalah besar untuk mengeluarkan berita, tetapi ada juga kesannya iaitu kekurangan pembaca yang mengunjungi laman web pada waktu lewat tengah malam.
Untuk wartawan lokasi, paling lewat semua akan berakhir adalah sekitar jam 11.30 malam selepas selesainya sidang media bersama jurulatih. Sememangnya pembaca dan pengikut bola sepak tempatan akan hanya dapat membaca respon dan pendapat pengendali pasukan pada sebelah petang keesokkannya harinya – paling awal.
Jadi, jika seperti perlawanan JDT menentang Ulsan Hyundai tempohari, perlawanan tersebut berakhir sekitar jam 7.00 malam dan pihak media masih ada masa yang panjang untuk membuat laporan dan sebagainya.
One more thing from JDT’s success – the 5pm kick off. Result and achievement aside. Game finishing at 7pm just gives everyone so much time to process the game afterwards be that professionally or socially. One for @MFL_MY to consider. Not every game but one Sat and/or Sun.
— KF (@aeroberg) May 1, 2022
Sebagai contoh, untuk Semuanya BOLA, sambutan yang diperolehi daripada pembaca mengenai laporan perlawanan tersebut adalah kurang lebih 6,000 pembaca dalam tempoh lima jam sehingga tengah malam.
Kita ambil contoh laporan perlawanan lawan yang sama pada 18 April yang bermula pada jam 10.00 malam. Sambutan yang diperolehi ada sekitar 12,000 pembaca untuk tempoh sehari. Dalam lima jam sahaja, kami boleh perolehi setengah daripada jumlah sehari pembaca laporan perlawanan lawan dan keputusan yang sama.
Ia mungkin sama untuk semua media online dan untuk media cetak pula, mereka akan sempat untuk membuat pelbagai jenis laporan untuk cetakan akhbar esok pagi, bukan hanya keputusan perlawanan semata-mata.
Memudahkan pergerakan penyokong
Perlawanan ketika ini berakhir pada lewat malam dan penyokong sudah berada pada tahap paling minimum tenaganya dan majoriti daripadanya hanya mahu pulang dan berehat. Jika ia melibatkan perjalanan yang jauh, penyokong terpaksa melalui perjalanan yang panjang pula dan ia pasti sesuatu yang amat memenatkan.
Cuba bayangkan perlawanan berakhir pada jam 7.00 malam. Penyokong masih sempat meraikan bersama-sama rakan mereka. Di media sosial juga akan terus hangat dibanjiri komen-komen sehingga ke tengah malam. Ia satu malam yang masih panjang buat para penyokong untuk sama ada meraikannya atau pun bermurung.
Aksi yang bermula pada jam 5.00 petang juga akan membolehkan penyokong lebih santai untuk bergerak dengan kemudahan pengangkutan awam masih senang untuk didapati, sebelum dan selepas perlawanan.
Malah, sebagai tuan rumah, pengurusan pasukan boleh menyediakan pengangkutan khas kepada penyokong untuk ke stadium. Ia bagi mengelak situasi kesesakan di kawasan stadium dan memudahkan mereka. Seperti JDT yang menyediakan perkhidmatan bas ‘shuttle’ percuma dalam sesetengah perlawanan penting pasukan.
Jika perlawanan tersebut berlangsung pada hujung minggu, penyokong akan sempat berehat untuk bekerja pada keesokkannya. Ini sesuatu yang penting untuk dilihat oleh pihak MFL kerana apabila segalanya mudah buat penyokong, kehadiran ke stadium bakal ada perbezaan dan peningkatan yang ketara berbanding kini.
Boleh menarik lebih banyak penyokong
Apabila bercakap tentang peningkatan kehadiran ke stadium, sepak mula yang lewat sebenarnya menghalang sesetengah golongan penyokong untuk ke stadium. Sama ada jarak yang jauh menjadi batu penghalang atau pun ia bertindih dengan saingan liga Eropah seperti saingan English Premier League (EPL) yang ‘mengiurkan’.
Tidak dinafikan, majoriti peminat bola sepak di Malaysia mengikuti saingan EPL yang sepak mulanya adakala bertindih dengan saingan liga tempatan. Ini memberi kesan tidak langsung dengan kehadiran di stadium.
Jika ia diawalkan kepada jam 5.00 petang, sudah tentu golongan ini mampu ditarik untuk turun ke stadium. Dengan perlawanan akan berakhir pada jam 7.00 malam, mereka akan boleh menikmati saingan EPL pula selepas itu. Ini situasi menang-menang, di mana pasukan akan turut mendapat keuntungan daripadanya.
Inilah balasan ciapan pengguna Twitter, piti kudo pada ciapan Kin Fai tentang waktu sepak mula itu.
It's only my humble opinion
Justifikasinya:1) Mudah untuk penyokong yang takde kenderaan ke stadium. Mereka boleh naik public transport. Mostly public transport tamat servis around pukul 11pm. Ya, Grab memang ada, tapi lebih murah kan kalau naik KTM/LRT. Tak semua mampu Grab
— piti kudo (@fitri_kudoz) May 1, 2022
Penutup
Selain itu, antara kesan tidak langsung adalah penjimatan dari segi penggunaan elektrik. Mungkin jumlah penggunaan tenaga elektrik tidak setinggi ketika aksi malam dilangsungkan. Lampu limpah akan boleh ditutup lebih awal berbanding sebelumnya yang adakalanya sehingga ke lewat malam. Kos ini ditanggung pasukan.
Jadi, adakah sepak mula yang dijalankan untuk ACL 2022 melibatkan JDT dalam aksi terakhir tempohari adalah yang terbaik? Tidak dapat dipastikan sama ada ia adalah keputusan oleh tuan rumah atau pihak Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk perlawanan itu dilangsungkan awal. TMJ nampak sangat ‘gembira’ dengannya.
Tetapi dengan sepak mula di Stadium Larkin perlu diadakan pada jam 5.00 petang mungkin atas faktor lampu limpah tidak menepati piawaan AFC, satu lagi aksi melibatkan JDT juga perlu diadakan pada waktu yang sama kerana ia merupakan aksi terakhir kumpulan. Tetapi, aksi pada jam 5.00 petang itulah yang membantu JDT.