‘TMJ Mahu Lebih Lagi Tonggak Warisan’ – Ini 3 Pemain Yang Menyerlah & Tidak Menjadi Di JDT

TMJ pemain warisan JDT

Dalam satu temu bual bersama Astro Arena, pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), TMJ dipetik berkata dalam usaha untuk memantapkan cabaran pasukannya, beliau mahu membawa lebih ramai pemain warisan.

Ini adalah selepas JDT sah melakar sejarah pasukan pertama dari Malaysia mara ke pusingan kalah mati, AFC Champions League (ACL) apabila muncul sebagai juara Kumpulan I, peringkat kumpulan ACL 2022 pada Sabtu.

Harimau Selatan tampil agresif dan garang menundukkan pasukan terbaik di K-League, Ulsan Hyundai dengan keputusan 2-1 dalam aksi terakhir kumpulan serta berhasil melonjak pasukan ke tangga teratas kumpulan. Persaingan slot tiga penjuru dalam Kumpulan I menyaksikan JDT perlu menang dalam perlawanan terakhir.

Kenapa JDT Hanya Tinggal 4 Mata & Perlu Menang Ke Atas Ulsan Hyundai Untuk Mara?

Kini JDT hanya menanti untuk turun beraksi di pusingan 16 terbaik yang dijangka akan berlangsung pada 18 atau 19 Ogos depan, berdepan satu lagi wakil J1 League, Urawa Red Diamonds dalam format kalah mati.

Barangkali teruja dengan impak yang ditampilkan beberapa pemain warisan dalam skuad JDT kini, TMJ berhasrat untuk membawa lagi pemain-pemain Malaysia di luar negara untuk menjadi tonggak pasukan sebagaimana beberapa pemain yang boleh kita angkat sebagai tunjang kekuatan pasukan pada saat ini.

“Kita ada lagi perancangan untuk membawa beberapa lagi pemain Malaysia yang bermain di luar negara, yang saya rasa berminat [menyertai JDT]. Kami akan ‘approach’ untuk memantapkan lagi pasukan ini pada masa depan, supaya kita ada lebih lagi Natxo Insa, ramai lagi Corbin Ong dan Matt Davies serta Hong Wan.”

TMJ kepada Astro Arena

Jika diamati, ini bukanlah kali pertama JDT terlibat dengan proses membawa pulang pemain-pemain warisan ke Malaysia bagi menyertai JDT. Agak ramai yang dibawa ke JDT dan tidak semuanya membuahkan hasil.

Ini adalah 3 pemain yang menyerlah dan yang gagal di JDT sejak ‘projek’ ini digerakkan oleh Harimau Selatan. Gagal di sini bukanlah bermaksud projek tersebut gagal, namun pemain tersebut sama ada gagal untuk pecah masuk ke pasukan utama ataupun tidak memenuhi jangkaan pasukan dan juga TMJ di Harimau Selatan.

Natxo Insa, Malaysia-Sepanyol (Levante, Sepanyol)

Tidak salah untuk kita mengangkat, Natxo Insa adalah ‘masterpieces’ dalam semua pemain warisan yang dibawa pulang ke Malaysia oleh JDT. Di tahun ke-6 di Malaysia, di pentas tertinggi Asia, beliau mempamerkan nilainya. Ini merupakan pemain yang paling berjaya dalam usaha mereka untuk mencipta sejarah di Asia.

Impaknya sepanjang ACL 2022 menyaksikan JDT mara buat kali pertama ke pusingan kalah mati. Ia sejarah buat mereka dan Malaysia. Beliau melakar rating melebihi 7.0 dalam tiga aksi dan hanya sekali merekodkan 6.7 iaitu dalam perlawanan terakhir menentang Ulsan Hyundai yang beliau hanya sempat beraksi selama 16 minit.

Corbin Ong, Malaysia-Barbados (Go Ahead Eagles, Belanda)

Corbin Ong adalah bek kiri yang konsisten beraksi dalam semua perlawanan buat JDT mahupun skuad kebangsaan. Kehadirannya membaiki kelompongan di bek kiri yang jarang sekali boleh didapati di Malaysia.

Ini adalah tahun kelimanya bersama JDT di Liga Malaysia dan di usia 31 tahun kini, tampaknya beliau masih mampu beraksi untuk beberapa tahun lagi. Kudratnya masih diperlukan pasukan dan juga skuad kebangsaan. Melakar tiga assist dalam lima penampilan di ACL 2022 membuktikan impak berkesan yang disumbangkannya.

Matt Davies, Malaysia-Australia (Pahang, Malaysia)

Inilah salah satu pemain yang dibawa bukan secara terus dari luar negara. Matt Davies terlebih dahulu beraksi bersama Pahang (kini Sri Pahang) selepas berpindah dari pasukan yang berpangkalan di A-League, Perth Glory.

Impaknya kini semakin terserlah selepas JDT menggunakan formasi 3-4-3, menyaksikan kombinasinya sangat baik bersama Shane Lowry dan Shahrul Saad. Beliau tampil beraksi dalam lima perlawanan di ACL 2022, malah telah merekodkan 100 peratus succesful dribbles dan 60 peratus succesful duels dalam lima perlawanan.

Matt Davies: Selamat Tinggal, Pahang Sentiasa Istimewa Di Hati Saya

Sam Somerville, Malaysia-England (Tooting & Mitcham United, England)

Sam Somerville lebih menyerlah bersama Penang FC sepanjang dua musim beraksi  apabila membantu mereka meraih promosi ke Liga Super dan kedudukan ke-3 liga dalam musim pertama di Liga Super 2021. Beliau telah menyertai Harimau Kumbang dari JDT selepas hanya diturunkan bersama JDT II sepanjang empat musim.

Kini beliau telah berhijrah ke Selangor FC untuk musim 2022 dan masih belum diturunkan dalam saingan Liga Super. Beliau tidak gagal sepenuhnya di JDT apabila pernah menjulang Challenge Cup 2019 bersama JDT II.

Daniel Ting, Malaysia -England (Droylsden FC, England)

Sepanjang dua musim di JDT pada 2016 dan 2017, seperti Sam Somerville, beliau hanya diturunkan bersama JDT II. Beliau pernah menyertai Negeri Sembilan secara pinjaman sebelum ke PKNS FC dan akhirnya KL City.

Lebih menonjol bersama KL City pada musim lalu, bek kiri ini mula disebut-sebut bakal menyertai kem Harimau Malaya, namun akhirnya ‘menghilangkan’ diri sebelum bermulanya musim 2022. Dikaitkan bakal kembali ke JDT, akhirnya didedahkan oleh pihak pengurusan KL City, Daniel Ting tidak kembali disebabkan menolak vaksinasi.

Nick Swirad, Malaysia-England (Northern Rangers FC, Tasmania)

Beliau tidak dikenali ketika di JDT dek kerana hanya tampil beraksi di JDT II sepanjang setahun lebih sebelum dipinjamkan ke Melaka United pada jendela perpindahan kedua musim 2017. Di Melaka, beliau beraksi banyak perlawanan tetapi auranya lebih menyerlah bersama PKNS FC apabila dipanggil ke kem skuad kebangsaan.

Walaupun terpaksa digugurkan oleh bekas pengendali Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal akibat kecederaan, beliau membuktikan kualiti yang dimilikinya. Malah, pada musim 2021 beliau menyertai kelab Thai League 2, Nongbua Pitchaya dan membantu mereka meraih promosi ke Thai League 1. Kini beliau beraksi di Sri Pahang.

Penutup

Siapa pula sasaran TMJ selepas menyatakan kemahuannya untuk membawa lebih ramai pemain warisan ke JDT? Dion Cools antara yang disebut-sebut sejak sekian lama, namun beliau masih mahu kekal di Eropah.

Tidak semua pemain warisan berjaya di JDT, oleh itu setiap pemain pasti akan dipertimbangkan sebaiknya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN