Jika ditanya individu mana yang paling gembira mengenai kemenangan Terengganu semalam, pastinya nama Nafuzi Zain bakal meniti di bibir para peminat bola sepak tanah air.
Semalam, Terengganu berjaya melayakkan diri ke pusingan kedua saingan Piala FA musim 2022 setelah terpaksa berhempas pulas untuk menewaskan Negeri Sembilan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak dengan keputusan berpihak buat tuan rumah 2-1.
#PIALAFA2022🏴🏳️
FT Terengganu FC 2-1 Negeri Sembilan FC
⚽️Mark Goulon (OG) 27'
⚽️Omid Nazari 35'
⚽️Faisal Halim 37'#TerengganuFC#WeBleedBlackAndWhite pic.twitter.com/YfiZz6rQsu— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) April 29, 2022
Jelas Nafuzi Zain, kunci kemenangan pada aksi semalam adalah sikap ketenangan dan kesungguhan yang diberi para pemain melayakkan mereka untuk ke peringkat seterusnya walaupun lawan tampil dengan aksi yang sengit terutama sekali di separuh masa kedua.
Selain itu, pengendali Terengganu itu juga menjelaskan beberapa faktor lain seperti keupayaaan para pemainnya mampu menyerap tekanan dalam setiap perlawanan serta keupayaan pemain meningkatkan diri masing-masing berjaya membawa skuad kendaliannya beraksi lebih jauh dalam saingan Piala FA musim ini.
“Tahniah buat pemain yang berjaya memperagakan aksi terbaik dan berusaha keras bermula minit pertama sehinggalah wisel penamat ditiupkan pengadil.
“Saya dapat saksikan mereka begitu tenang walaupun kerap diasak terutama pada babak kedua permainan.
“Bagaimanapun perasan berdebar saya tidak dapat dielak, sebagai jurulatih setiap perlawanan ibarat telur di hujung tanduk, maknanya nasib bergantung kepada keputusan perlawanan dan rezeki, syukur kami menang malam ini (malam tadi) walaupun begitu sukar,” katanya ketika ditemui selepas berakhir perlawanan malam tadi menerusi Arena Metro.
Dalam aksi tersebut, Terengganu memperoleh gol menerusi jaringan sendiri pertahanan Negeri Sembilan iaitu Herold Goulon serta pemain sayap lincah, Faisal Halim.
Pelawat pula hanya mendapat satu gol menerusi pemain tengah mereka dari Filipina iaitu Omid Nazari dan gagal menambah sebarang gol lagi selepas itu.
Dalam masa sama, Nafuzi enggan mengulas dengan lebih lanjut ketika ditanya mengenai tempoh rehat panjang selepas penjadualan semula perlawanan bagi membolehkan skuad negara membuat persiapan ke Sukan Sea, Mei depan.
🎥 HEAD COACH POST MATCH PRESS CONFERENCE #FACUP2022 #FA1 🏴🏳️
Komen Ketua Jurulatih, Nafuzi Zain setelah tamat perlawanan menentang Negeri Sembilan FC.#TerengganuFC#WeBleedBlackandWhite#TFCTV pic.twitter.com/9DC1vc6GnT
— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) April 29, 2022
Menurut pengendali muda berbakat besar itu, beliau cuma berharap agar prestasi para pemain kendaliannya tidak terjejas dan bakal bertambah baik selepas kembali bersambung.
“Pada awal musim kita bergelut selepas tiga bulan tanpa aksi kompetitif, selepas dua perlawanan, momentum pasukan bertambah baik dengan merakam kemenangan ketiga berturut-turut.
“Tapi kini pasukan kami berehat lagi dua bulan bagi memberi laluan kepada persiapan skuad negara ke Sukan Sea, jadi kita lihat prestasi pasukan selepas ini, saya pun tidak boleh membuat ramalan.
“Tapi kita harapkan pasukan bertambah baik walaupun berehat panjang,” katanya yang turut menjelaskan empat lagi pemainnya yang belum melapor diri iaitu Muhammad Hairiey Hakim Mamat, Syafik Ismail, Muhammad Azam Azmi Murad dan penjaga gol, Rahadiazli Rahalim bakal melapor diri pada hari ini selepas Nik Akif Syahiran Nik Mat berbuat demikian sebelum ini.
Ikuti kami di TikTok!
Semuanya BOLA akhirnya telah tiba di TikTok! Ikuti akaun TikTok kami untuk dapatkan info ringkas dan santai mengenai bola sepak dalam bentuk video pendek sekarang.
Jom buat ramai di sana dengan ikuti di tiktok.com/@mysemuanyabola sekarang!