Apa dah jadi sebenarnya sehingga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) didapati memberikan cenderahati berbentuk ‘pennant flag’ yang dikhaskan untuk Nike kepada delegasi Juventus yang melakukan lawatan ke Wisma FAM di Kelana Jaya baru-baru ini.
Melalui satu kenyataan yang dikeluarkan oleh badan induk bola sepak negara itu semalam, Juventus yang diwakili Pengarah Urusan kelab, Federico Palomba dan Pengurus Jualan Kerjasama, Kelvin Leung hadir menemui Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin pada Isnin lalu.
Perjumpaan tersebut dikatakan bagi membincangkan hubungan dua hala yang boleh memanfaatkan bola sepak negara dan gergasi Serie A Itali itu.
Hasil perbincangan kedua-dua pihak, Juventus dikatakan menjemput pemain skuad B-17 negara untuk menghadiri latihan bersama akademi milik mereka di Turin – selain membuka akademi untuk pembangunan akar umbi di negara ini.
Pennant flag tarik perhatian netizen
Perjumpaan bersama FAM oleh Juventus dilihat sebagai satu formaliti oleh juara 36 kali Itali sebelum mengadakan sebarang bentuk program bola sepak di negara ini.
Ini kerana FAM dianggap sebagai badan yang menyelia bola sepak di negara ini.
Dalam majlis pada Isnin lalu, pertukaran cenderahati turut dilakukan sebagai simbolik kerjasama kedua-dua entiti.
Datuk Hamidin selaku Presiden FAM turut menerima jersi Juventus tertera namanya dengan No.20.
Jumpa Juventus… Thank You Nike😂💔 @FAM_Malaysia @juventusfc 😭 pic.twitter.com/RdiZ9e9IfW
— Danial Mazalan (@danial_mazalan) April 26, 2022
Turut dilakukan ialah pertukaran ‘pennant flag’ di antara Juventus dan FAM. Namun demikian, mata tajam seorang netizen, dikenali sebagai Danial Mazlan menarik perhatian netizen.
Ini kerana pennant flag yang diserahkan oleh Datuk Hamidin kepada wakil Juventus sebenarnya adalah pennant flag yang disediakan khas untuk Nike.
Jelas tertulis pada pennant flag tersebut ayat: “Thank you Nike. In Recognition of Your Continuous Support”. Tidak dapat dipastikan sekiranya tulisan tersebut adalah kerana ia juga turut ditaja oleh Nike.
Seperti semua sedia maklum, Nike adalah jenama kelengkapan sukan berpengkalan di Amerika Syarikat dan merupakan penyedia jersi skuad kebangsaan Harimau Malaya.
FAM buat kerja tangkap muat
Berdasarkan logik, ia jelas pennat flag lama yang sepatutnya FAM serahkan kepada Nike dan bukan khusus untuk diberikan kepada delegasi Juventus.
Timbul persoalan sama ada FAM buat kerja tangkap muat. Atau adakah lawatan oleh Juventus datang secara tiba-tiba membuatkan badan induk bola sepak negara itu tidak bersedia terlebih dahulu?
Juventus FC Tinjau Potensi Kerjasama Dengan FAM
Baca Selanjutnya di:https://t.co/WaYe2cIfBe#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/EWMuxcsaYO
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) April 26, 2022
Apa-apa pun, ia adalah perkara yang dianggap memalukan. Apatah lagi ia melibatkan organisasi yang mewakili bola sepak negara.
Sepatutnya FAM lebih peka di dalam hal ini. Rasanya tidak sukar untuk FAM menyediakan pennant flag yang lebih umum, khas untuk lawatan daripada mana-mana pihak seperti dilakukan oleh delegasi Juventus. Kosnya juga tidaklah tinggi.
Mungkin FAM mempunyai penjelasan tersendiri di dalam hal ini.