Isu pemain Selangor dicemuh oleh penyokong sendiri walaupun merekodkan kemenangan besar 4-1 ke atas Kedah tempoh hari masih hangat diperkatakan.
Mana tidaknya, rata-rata peminat dan pemerhati bola sepak tanah air hairan melihat respon penyokong yang seolah-olah tidak menghargai sumbangan pemain yang telah mengerah kudrat mereka sedaya upaya untuk memastikan pasukan mendapat keputusan yang baik.
Persoalan tersebut akhirnya terjawab selepas kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Ultras Selangor mendakwa kemarahan itu berpunca kerana pasukan dibolosi dalam perlawanan tersebut.
‘Mentaliti Juara?’ – Pemain Selangor FC Tetap ‘Makan Maki’ Penyokong Sendiri Walaupun Menang Bergaya
Berdasarkan satu post di media sosial, kumpulan tersebut telah meletakkan petunjuk prestasi utama (KPI)atau penanda aras kepada pasukan Selangor yang diharapkan tidak bolos lebih dari 15 gol sepanjang musim ini.
Maka bolos enam gol hanya selepas tiga perlawanan adalah tidak sepatutnya berlaku.
Adakah KPI tersebut wajar untuk sesebuah pasukan?
Bagi menjawab pertanyaan ini, Semuanya BOLA sempat merujuk kepada seorang jurulatih yang terlibat dengan pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi, Muhamad Al-Fateh Abdul Adzis.
Jurulatih Hira’ FA ini, berpandangan tidak wajar penyokong mengeluarkan makian hanya kerana pasukan mereka bolos, apatah lagi selepas memenangi perlawanan tersebut.
Baginya bolos dalam perlawanan adalah perkara biasa dalam bola sepak kerana ianya bergantung pada cara atau taktikal pasukan serta sistem bertahan sebagai satu pasukan.
“Dalam bola sepak ini yang paling penting adalah meraih kemenangan. Saya faham mereka [Ultras Selangor] mahu pasukan utk perkuatkan pertahanan, tapi perkara yang penting dlm bola sepak adalah gaya permainan atau ‘style of play‘,” ujarnya.
“Pada saya bukan soal bolos atau tidak. Ultras boleh letak KPI sepanjang musim sifar bolos sekalipun, tapi kalau cara permainan Selangor masih di takuk lama pun masalah juga.”
Beliau selaku jurulatih yang membimbing pemain di peringkat kanak-kanak dan remaja juga sama sekali tidak akan memarahi pasukannya apabila dibolosi kerana ia pastinya akan menjejaskan motivasi pemain.
Sebaliknya akan memberi tunjuk ajar di manakah ruang untuk memperbaiki kesilapan dan itulah cara untuk memastikan moral pasukan berada pada tahap terbaik.
“Sebagai contoh penyokong Arsenal tak bising bila [Mikel] Arteta kalah sebelum ini sebab Arteta cuba terapkan DNA baharu dlm Arsenal. Kalau kita tengok, sebenarnya yang bising cuma penyokong pasukan lain sahaja yg ‘menganjing’.
“Tapi sekarang kita boleh tengok Arsenal dah di tangga kelima [Liga Perdana Inggeris]. Takkan nak main mcm Spurs dan menang? Sampai kesudah mereka tak menang piala.
“Yang paling penting adalah ‘style of play‘ dan baru kita boleh percaya kepada proses. Bagi saya secara realistik Selangor masih belum mampu saingi JDT [Johor Darul Ta’zim] atau nak pergi ke Asia jika main seperti tempoh hari.”
Dalam bola sepak, apabila pasukan mengamalkan permainan terbuka atau ‘open play‘, bolos adalah risiko yang sukar untuk dielakkan walaupun pasukan sedang mendahului tiga atau empat gol sekalipun.
Sebab itulah dalam mana-mana pertandingan terutamanya di peringkat kalah mati, ada beberapa pasukan yang menggunakan pendekatan ‘parkir bas’ atau meletakkan pemain sebanyak mungkin di bahagian pertahanan.
Taktikal ini diterapkan dengan tujuan untuk tidak bolos dan mengharapkan jaringan menerusi serangan balas pantas.
Maka tidak hairan mengapa ketua jurulatih Selangor, Micheal Feichtenbeiner dalam temubual selepas perlawanan menegaskan beliau tidak akan ‘mengorbankan’ gaya permainan pasukannya hanya semata-mata untuk ‘meletakkan bas’ supaya tidak bolos.
“Kami mahu menikmati permainan, kami mahu menyerang jadi kami ambil sedikit risiko dalam soal bertahan,” ujar bekas penolong jurulatih skuad kebangsaan Jerman itu.
“Saya tidak mahu terlalu bertahan dan mengharapkan serangan balas jadi kami mahu menyerang dan cipta peluang. Kalau ada pihak yang tidak senang dengan jumlah jaringan yang dibolosi, tidak mengapa itu pandangan anda.”
Jadi beliau berharap Ultras Selangor selaku ‘pemain ke-12’ lebih memahami taktikal falsafahnya dalam usaha untuk menerapkan gaya permainan yang lebih baik dan bukannya memberikan reaksi mengikut emosi semata-mata.
Michael Feichtenbeiner – Saya tidak mahu 'park the bus'
Dapatkan berita terkini di aplikasi Shoot!
Link muat turun: https://t.co/jwFSuZsDbM#ShootJanganTakShoot#LigaMalaysia2022#LigaSuper2022 pic.twitter.com/UtngvmB3xc
— Shoot! (@ShootAppMy) April 12, 2022
“Saya menikmati permainan kami. Kami sudah menjaringkan sembilan gol dalam tiga perlawanan dan enam gol lagi ke atas pencabar daripada Liga M3 dalam Piala FA,” tambahnya lagi.
“Kami banyak menyerang dan gol yang kami lepaskan juga melalui pasukan handalan. Secara peribadinya, corak permainan ini lebih seronok untuk disajikan penonton atau kami hanya meletakkan bas, namun ini bukan cara saya.”