Jentera serangan yang tumpul merupakan tumpuan utama dalam aksi yang menyaksikan Penang FC dan Negeri Sembilan FC terikat dengan keputusan 1-1 dalam aksi minggu ke-4 Liga Super 2022, sebentar tadi.
Ini menyaksikan Negeri Sembilan masih gagal untuk menewaskan Penang di Stadium Bandaraya selepas kali terakhir melakukannya pada musim 2010. Mereka melepaskan peluang melonjak kedudukan mereka ke ‘top 3’ liga. Zaquan Adha dan Hilal El-Helwe masing-masing berjaya menyumbang gol untuk aksi pada malam ini.
Kedua-dua pasukan gagal menampilkan percubaan yang lebih tajam di awal permainan walaupun terdapat beberapa peluang untuk meledak gol pembukaan Hanya deretan rembatan tersasar mampu dihasilkan oleh jentera serangan kedua-dua pasukan sejak daripada tiupan wisel permulaan sehingga setengah jam aksi.
Penang yang turun dengan hanya satu perubahan di benteng apabila memasukkan Fairuz Zakaria memiliki lebih kawalan ke atas bola, namun ketumpulan jentera serangan mengecewakan mereka. Jentera tengah Penang yang diketuai Azzizan Nordin pula menampilkan penguasaan permainan yang baik di kawasan middle third.
Peluang terbaik tuan rumah hadir di minit ke-7 selepas Adib Raop menerima hantaran lolos oleh Endrick dos Santos apabila Penang dihadiahkan sepakan percuma di tengah padang, namun diselamatkan Syihan Hazmi.
Adib Raop mahupun Faizat Ghazli dilihat masih gagal untuk menyamai kemampuan dan sumbangan bekas pemain musim lalu, Al-Hafiz Harun dan Amer Azahar di bahagian sayap Harimau Kumbang pada musim ini.
Berbanding Penang, Negeri Sembilan tidak mampu menguasai bola lebih lama, malah transisi mereka daripada bawah ke jentera serangan yang dikemudi Zaquan Adha, Kossi Adetu dan Matheus Ales dilihat sering terputus. Begitupun, terdapat beberapa situasi, mereka berhasil mencipta percubaan tersasar ke gawang Khatul Anuar.
Penjaga gawang, Syihan Hazmi menjadi tumpuan di babak pertama hasil tiga aksi menyelamatnya yang hampir memberikan Penang jaringan pertama perlawanan. Minit ke-28, Syihan Hazmi menyelamatkan dua percubaan di depan gawangnya oleh Casagrande dan Adib Raop serta tandukkan deras Casagrande pada minit ke-36.
Sebelum itu, di minit ke-32, Negeri Sembilan terlebih dahulu membuka jaringan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Zaquan Adha selepas bek tengah, Nasrullah Haniff dijatuhkan kapten, Latiff Suhaimi.
Penang pula tidak menunggu lama untuk kembali mengikat kedudukan, juga menerusi sepakan penalti selepas Endrick dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Omid Nazari. Hilal El-Helwe meledak gol pertamanya untuk Penang.
33' GOL | Zaquan Adha menyudahkan sepakan penalti untuk gol pembukaan di Stadium Bandaraya!@Penang_FC 0-1 @nsfc1923 #LigaSuper2022 pic.twitter.com/oRxcH5KyTG
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 9, 2022
39' GOL | Penang FC menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Hilal El-Helwe!@Penang_FC 1-1 @nsfc1923 #LigaSuper2022 pic.twitter.com/UV10GOZ5ej
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 9, 2022
Babak kedua menyaksikan skuad Jang berjaya untuk merampas sedikit penguasaan bola apabila pertukaran pemain iaitu Zaquan Adha digantikan oleh pemain tengah, Izzuddin Roslan. Namun, ia tidak bertahan lama.
Peluang terbaik Penang untuk mendahului perlawanan hadir di minit ke-55 apabila hantaran lolos Hilal El-Helwe menemui pemain gantian T. Saravanan, namun beliau hanya mampu melepaskan rembatan yang tersasar. Dua minit sebelum itu, Endrick juga melepaskan peluang terbaiknya apabila hanya membuat percubaan tersasar.
Selain Endrick yang diketahui sebagai ‘otak’ buat jentera serangan Penang, Hilal El-Helwe juga dilihat menjadi tonggak kreatif ketika tuan rumah mengatur asakan. Pada minit ke-52, hantaran lintangnya berjaya menemui Casagrande, namun penyerang tinggi lampai itu hanya melepaskan tandukkan melewati palang gol pelawat.
Pertukaran pemain yang dilakukan kedua-dua kem tidak memberi impak kepada permainan. Negeri Sembilan dan Penang masih dilihat tumpul untuk menghadirkan jaringan gol tambahan selain sepakan penalti itu.
Perlawanan berakhir dengan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan keputusan 1-1. Harimau Kumbang berterusan gagal untuk meraih tiga mata pertama mereka selepas empat perlawanan, sementara Jang pula masih belum kalah dalam tiga perlawanan pertama mereka sejak kembali semula ke Liga Super.