Penjaga gol Negeri Sembilan, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed menjelaskan beliau mahu meneruskan momentum kecemerlangannya sebelum ini menjelang aksi pertemuan menentang Selangor dalam saingan Liga Super setelah sebelum itu cemerlang ketika perlawanan pertama membantu kelab diwakilinya mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan pertama.
Dalam aksi menentang Sabah sebelum ini, Syihan menjadi wira buat Negeri Sembilan apabila dapat menepis sepakan penalti lawan selain tangkas menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya yang menjadikan dirinya mula diberi tumpuan oleh pemerhati bola sepak negara.
45+6' SAVE | Penjaga gol Negeri Sembilan FC, Ahmad Syihan Hazmi berjaya menyelamatkan sepakan penalti Neto Pessoa sebelum tamat babak pertama!@SabahFCofficial 0-0 @nsfc1923 #LigaSuper2022 pic.twitter.com/SlxMX0nxYi
— Malaysian Football League (@MFL_MY) March 4, 2022
Rakan sepasukannya, Khair Jones melengkapkan malam gemilang buat juara Liga Premier musim lalu itu dengan menoktahkan kemenangan pertama mereka mengatasi skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee dengan jaringan tunggal perlawanan tersebut.
Menurut Syihan Hazmi, kini beliau bertekad untuk menjadikan Selangor pula sebagai sasaran untuk pemain tersebut terus mempamerkan aksi cemerlangnya pada hari Selasa nanti agar dapat memperkukuhkan kedudukan skuad dalam carta liga.
“Selaku penjaga gol, tugas saya memastikan gawang pasukan tidak bolos, namun tugas itu bukan mudah kerana Selangor memiliki jentera serangan yang berwibawa.
“Saya perlu kekal fokus sepanjang tempoh perlawanan dan membuat jangkaan yang tepat arah bola ke kawasan gol supaya setiap percubaan daripada pemain lawan dapat diselamatkan.
“Saya juga perlu ada komunikasi yang baik dengan rakan lain terutama di bahagian pertahanan kerana ia penting dalam usaha mempertahankan kubu pasukan,” katanya menerusi Harian Metro.
Jelas penjaga gol berusia 25 tahun itu, tugas utama setiap pemain adalah berusaha dengan baik untuk menghadam segala taktikal yang cuba dicernakan oleh pengendali mereka, K. Devan sebaik mungkin tanpa membuat sebarang kesilapan mudah.
Dalam masa sama, Syihan Hazmi juga percaya aksi sengit pasti ditampilkan oleh lawan mereka, Selangor kerana masing-masing ada impian dan misi tersendiri dalam perlawanan tersebut.
Selain itu, Syihan Hazmi juga merasa yakin serta memberi kepercayaan sepenuhnya buat rakan sepasukan bakal memberi fokus dan kerja keras untuk menjulang nama Negeri Sembilan pada perlawanan kedua ini.
“Kami akan berusaha memastikan kelebihan beraksi di laman sendiri nanti tidak disia-siakan,” kata pemain yang pernah beraksi bersama Petaling Jaya (PJ) City FC, musim lalu.
Penjaga gol yang berasal dari Kelantan itu juga kini dilihat lebih berkeyakinan untuk menggalas tugas selaku penjaga gol utama pasukan selain mahu membantu kelab diwakilinya mencatat kejayaan dalam setiap perlawanan dihadapi mereka musim ini.
Tambah beliau, rakan sepasukan serta kejurulatihan juga berjaya membantu dirinya untuk tampil lebih berkeyakinan dan mendapat bimbingan yang baik dari jurulatih penjaga gol Negeri Sembilan, Megat Amir Faisal Ibrahim selain sokongan moral tinggi oleh kapten pasukan, Zaquan Adha.
“Sokongan dan kerjasama baik daripada mereka banyak membantu saya dalam usaha meningkatkan lagi prestasi dan ia penting kerana perjalanan liga musim ini masih panjang,” katanya.
Ikuti kami di TikTok!
Semuanya BOLA akhirnya telah tiba di TikTok! Ikuti akaun TikTok kami untuk dapatkan info ringkas dan santai mengenai bola sepak dalam bentuk video pendek sekarang.
Jom buat ramai di sana dengan ikuti di tiktok.com/@mysemuanyabola sekarang!