Ketua Jurulatih Belanda, Louis van Gaal memberi amaran kepada pengurus Ajax Amsterdam, Erik ten Hag agar mempertimbangkan hasratnya untuk menjadi pengurus di Manchester United.
Van Gaal yang pernah mengendalikan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) tersebut pada 2014 hingga 2016 menggesa jurulatih warga Belanda itu untuk memilik kelab bola sepak yang sebenar dan bukannya kelab yang lebih mementingkan nilai komersial.
Ten Hag, 52 merupakan antara nama-nama yang menjadi sasaran utama United bagi menggantikan pengurus Interim, Ralf Rangnick pada musim depan.
“Erik ten Hag merupakan seorang jurulatih yang hebat dan dia mungkin baik untuk Manchester United,” ujar Van Gaal semasa sidang media menjelang aksi persahabatan Belanda bertemu Jerman.
“Tetapi Manchester United ini kelab komersial, jadi ia pilihan yang sukar untuk seorang jurulatih. Lebih baik dia pergi ke kelab bola sepak.
“Saya tak akan nasihatkannya, dia sendiri akan hubungi saya. Yang penting dia kena pilih kelab bola sepak, bukan kelab komersial.”
Ten Hag dilantik selaku pengurus Ajax bermula musim 2017/18 dan telah membawa pasukan tersebut mengecapi kejuaraan Eredivisie pada 2019 dan 2021 selain mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada 2019.
Minggu lalu media melaporkan Ten Jag telah pun ditemuduga oleh Manchester United. Antara calon lain yang berpotensi untuk mengisi kerusi panas tersebut adalah Mauricio Pochettino, Julen Lopetegui dan Luis Enrique.
Semuanya BOLA akhirnya telah tiba di TikTok! Ikuti akaun TikTok kami untuk dapatkan info ringkas dan santai mengenai bola sepak dalam bentuk video pendek sekarang.
Jom buat ramai di sana dengan ikuti di tiktok.com/@mysemuanyabola sekarang!