Irfan Bakti Abu Salim selaku pengendali bagi Kuching City mengaku dirinya sudah mula jemu dengan keadaan semasa apabila setakat ini hanya mampu menjalani latihan tanpa sebarang perlawanan kompetitif dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
Walaupun begitu, suka atau tidak, pengendali tersebut perlu akur selepas beberapa perlawanan awal yang membabitkan Kuching City terpaksa ditunda kerana skuad kendaliannya itu diserang wabak Covid-19.
Selaku salah seorang yang turut dijangkiti wabak virus berkenaan, Irfan mengakui perkara tersebut agak mengganggu fizikal dan mental para pemain kerana skuad kendaliannya masih lagi belum beraksi secara kompetitif dalam saingan liga sejak tirai musim 2022 ini dibuka pada awal bulan.
“Mula-mula pada awal Mac apabila tunda perlawanan, kita akur cuma apabila ramai lagi positif, nak buat macam mana terpaksa terima. Kami pun sebenarnya sudah bosan apabila tiga bulan hanya berlatih dan tak boleh nak mula perlawanan sebenar disebabkan COVID-19.
“Jadi memang mencabar apabila kita sudah berlatih dan sekarang positif pula termasuklah saya, cuma kami pun tak sangka boleh positif sebab memang tiada gejala yang teruk pun.
“Tetapi, mahu atau tidak kena terima dan saya akan pastikan kami tetap melakukan rutin latihan dalam talian manakala yang mana tidak dijangkiti, berlatih seperti biasa,” katanya menerusi Berita Harian.
Sebelum itu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) telah mengeluarkan kenyataan mengenai jadual baharu perlawanan Liga Premier bagi Kuching City dan Terengganu FC II (TFC II) di Stadium Negeri, Kuching yang sepatutnya berlangsung hari semalam ditunda ke tarikh baru.
Satu lagi perlawanan yang ditunda ialah membabitkan skuad tersebut menentang Selangor II di Stadium UiTM, Shah Alam pada 27 Mac ini akibat 18 pemain dan pegawai Kuching City disahkan positif Covid-19.
Pada musim ini, Kuching City dilihat sudah membuat persediaan yang baik bagi mencabar kejuaraan Liga Premier dengan menandatangani beberapa pemain berprofil tinggi iaitu Abu Kamara yang beraksi sebagai penyerang utama dari Liberia dan Keanu Marsh Brown dari England yang turut beraksi di posisi serangan.
Ikuti kami di TikTok!
Semuanya BOLA akhirnya telah tiba di TikTok! Ikuti akaun TikTok kami untuk dapatkan info ringkas dan santai mengenai bola sepak dalam bentuk video pendek sekarang.
Jom buat ramai di sana dengan ikuti di tiktok.com/@mysemuanyabola sekarang!