Negeri Sembilan yang bermula dengan langkah kanan pada perlawanan pertama dalam saingan Liga Super setelah menewaskan Sabah sedikit terganggu perjalanan mereka apabila terlepas dua perlawanan akibat serangan Covid-19.
Namun begitu, setiap pasukan dilihat kekal fokus dalam persiapan mereka untuk mencabar kejuaraan liga dengan sekurangnya kekal dalam saingan tersebut musim hadapan.
K Devan selaku pengendali dan pengurus utama Negeri Sembilan musim ini sudah pun kembali menjalani latihan setelah tamat fempoh kuarantin bagi terus mengekalkan konsistensi pasukan pada perlawanan akan.m datang.
Sesi latihan pertama selepas kembali dari kuarantin 👊👊#NSFC#HobinJangHobin pic.twitter.com/fsfFfUWhF6
— Negeri Sembilan Football Club (@nsfc1923) March 15, 2022
Dalam masa sama, penyerang terbaharu mereka iaitu Sean Eugene Selvaraj mengingatkan rakan sepasukan agar kekal fokus untuk menghadapi perlawanan liga serta saingan Piala FA sebaik sahaja kembali bersambung pada bulan hadapan.
Jelas bekas pemain tonggak Selangor itu, fokus beliau dan rakan-rakan sedikit pun tidak terjejas dalam misi untuk menjulang nama kelab musim ini seperti yang telah ditetapkan biarpun beberapa pemain terkena jangkitan Covid-19 sebelum itu.
“Saya dan rakan lain sentiasa mengharapkan jangkitan wabak itu tidak menjejaskan persiapan pasukan dan kini ternyata lega apabila semua dalam keadaan selamat dan kami sudah kembali menjalani latihan.
“Tempoh rehat tanpa perlawanan ketika ini memberi ruang untuk kami memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha memantapkan kembali tahap kecergasan diri dan membina semula kekuatan pasukan.
“Kami perlu terus bekerja keras meningkatkan prestasi diri dan memperkasakan pasukan sebagai persiapan apabila saingan Liga Super dan Piala FA bersambung semula,” katanya menerusi Harian Metro.
Tambah bekas pemain Harimau Muda C itu lagi, untuk memberi persembahan yang berkualiti musim ini, beliau turut menuntut rakan-rakan lain agar terus meningkatkan usaha dalam sesi latihan kerana perjalanan liga yang masih panjang dan agak mencabar untuk mereka yang baru sahaja muncul juara Liga Premier musim lalu.
Menurut Sean, pasukannya perlu meneruskan rentak cemerlang dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) setelah berupaya menundukkan Sabah pada perlawanan lalu agar dapat mengukuhkan carta liga musim ini.
“Kami perlu terus kekalkan persembahan terbaik dan meraih kemenangan untuk menjamin kedudukan pasukan yang baik dalam carta.
“Ini menuntut kami melakukan apa saja untuk pastikan prestasi pasukan di tahap terbaik dan berupaya berhadapan dengan mana-mana pasukan selepas ini.
“Menjadi impian kami untuk mencipta kejayaan musim ini bukan saja dalam liga malah Piala FA,” kata pemain kelahiran Port Dickson itu.
Juara Liga Premier musim lalu itu mempamerkan karakter yang menyakinkan pada perlawanan pertama dan sepatutnya mereka bakl bertemu Terengganu di gelanggang lawan bagi perlawanan kedua Liga Super pada 9 Mac lalu, namun perlawanan terpaksa ditangguhkan akibat serangan Covid-19.
Selain itu, mereka juga terlepas dalam aksi pusingan pertama Piala FA dengan pasukan yang sama namun sekali lagi terpaksa ditangguhkan apabila Negeri Sembilan masih belum tamat tempoh kuarantin ketika itu.
Ikuti kami di TikTok!
Semuanya BOLA akhirnya telah tiba di TikTok! Ikuti akaun TikTok kami untuk dapatkan info ringkas dan santai mengenai bola sepak dalam bentuk video pendek sekarang.
Jom buat ramai di sana dengan ikuti di tiktok.com/@mysemuanyabola sekarang!