Setelah berjaya melakar nama selaku bekas penjaring terbanyak di Liga Jordan bersama Al-Salt, kini Ronald Ngah Wanja tidak menunggu lama untuk membuka akaun jaringan di Liga Malaysia (Liga-M) apabila beliau menjadi penjaring gol tunggal untuk Kedah mengutip tiga mata penuh pada perlawanan pertama Liga Super 2022 pada hari Jumaat lalu.
Setelah cemerlang ketika beraksi pada pra-musim, kini Ronald Ngah menjadi antara daya penarik buat penyokong yang menantikan aksi beliau seterusnya bagi meledak gol dalam perlawanan menentang juara Piala Malaysia musim lalu, Kuala Lumpur City di laman sendiri esok.
Dalam masa sama, bekas penyerang Al-Qadsia ini juga merasa kagum dengan sambutan hangat para penyokong Sang Kenari yang tidak putus untuk memberi dorongan buat beliau sejak Ngah Wanja sah tiba di bumi Darulaman musim ini.
“Penyokong ada yang memanggil nama saya Ronald, Ngah atau Wanja dan mereka boleh panggil mana-mana singkatan nama itu kerana semua nama itu memang nama saya, dan jika mereka panggil saya Pak Ngah pun saya okay dengan panggilan nama itu.
“Saya akui kami memiliki penyokong yang cukup bersemangat dan mesra dengan mereka sentiasa memberi sokongan yang padu buat pasukan bagi memulakan aksi liga ini.
“Dengan pungutan tiga mata yang diperolehi pada perlawanan lalu, ianya sangat penting buat saya dan pasukan untuk meningkatkan lagi semangat bagi menghadapi perlawanan seterusnya menentang KL City Rabu ini,” katanya menerusi Berita Harian.
Ngah Wanja dilihat sangat optimis pada musim ini bersama Kedah dan bersedia untuk membantu kelab tersebut meraih sebarang kejuaraan walaupun segelintir penyokong merasakan itu cabaran terlalu besar buat beliau yang masih baru dalam saingan Liga Malaysia.
Musim ini, Ngah Wanja antara pemain import yang ditandatangni Kedah untuk menguatkan benteng serangan mereka selain pasangannya Dennis Buschening dan pemain pinjaman dari Johor Darul Takzim (JDT), Syafiq Ahmad.
Selain itu, Kedah turut mengukuhkan posisi tengah dan pertahanan mereka dengan Dechi Marcel, Jang Sukwon, dan Marc Vales turut menyertai skuad Sang Kenari dalam usaha memburu kejuaraan liga dan beraksi di pentas AFC.