Kos RM400,000 hanya untuk menempuhi dua perlawanan peringkat kumpulan dan berkemungkinan akan dibelasah menjadi faktor utama mengapa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) enggan menghantar skuad wanita ke Sukan SEA yang bakal berlangsung di Hanoi pada Mei ini.
Perkara itu dikongsikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Datuk Suraya Yaacob kepada Utusan Malaysia semalam.
Secara realistik, pasukan-pasukan seperti Thailand, Vietnam dan Filipina memiliki pasukan yang lebih kuat dan memburu pingat di temasya itu nanti. Ketiga-tiga pasukan juga bukanlah calang-calang pasukan kerana memiliki pemain dan skuad yang mampu beraksi di Piala Dunia Wanita.
“Kita perlu menanggung kesemua perbelanjaan ini yang melibatkan kos RM400,000 kerana pasukan kita diletakkan di bawah kategori C,” jelas Datuk Suraya ketika dihubungi oleh wartawan Utusan.
“Kesemua kos tersebut terpaksa kita tanggung dan selepas itu, para pemain hanya akan bermain dua perlawanan peringkat kumpulan bertemu pasukan berkelas dunia.”
Pengalaman lalu
Menurut perkongsian Datuk Suraya lagi, kos RM400,000 itu meliputi perkara berkaitan pengangkutan, penginapan, makanan, elaun pemain dan sebagainya sepanjang temasya tersebut berlangsung.
Baru-baru ini ramai pihak tampil mempersoalkan skuad wanita negara yang bagai dianak tirikan kerana tidak dihantar bertanding di temasya dwi tahunan tersebut.
Sebab kenapa FAM tidak mahu menghantar skuad Wanita Kebangsaan di Sukan Sea 2022 (@CSukan) pic.twitter.com/0rWVqtDisg
— Pemain Ke-12 (@pemain_ke_12) March 4, 2022
Untuk rekod, skuad wanita negara mengambil bahagian di Sukan SEA yang berlangsung di Filipina pada dua tahun lalu.
Pasukan negara kendalian Jacob Joseph mengakhiri saingan Kumpulan A di kedudukan tercorot selepas kalah semua empat perlawanan; tewas 1-2 kepada Filipina; 0-5 kepada Myanmar; dan dibelasah 0-6 oleh Thailand dan Vietnam.
FAM miliki rancangan lain?
Seraya itu Datuk Suraya turut berkongsi usaha FAM memartabatkan bola sepak wanita – walaupun tidak menghantar pasukan tersebut ke Vietnam pada tahun ini.
Mulai tahun ini format kejohanan bola sepak wanita kebangsaan akan memiliki format baharu. Liga Bola Sepak Wanita yang akan bermula pada Mei nanti akan melibatkan 16 pasukan yang akan bertanding dalam lima zon.
Untuk menjadikan pertandingan tersebut lebih meriah dan kompetitif, lapan pasukan terbaik akan bertanding bagi merebut Piala Tun Sharifah Rodziah.
Datuk Suraya turut memohon agar pihak beliau di FAM diberikan masa untuk membentuk sebuah pasukan wanita yang lebih baik selepas ini.