Drama berterusan nampaknya apabila pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) memberikan respon terhadap kenyataan Tomas Trucha tentang permainan Penang FC.
Berikutan keluhan pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora tentang pendekatan taktikal Penang, malam tadi, Tomas Trucha telah memberi sebab-sebabnya tersendiri mengapa memilih pendekatan sebegitu.
Dalam aksi Liga Super 2022 di Stadium Sultan Ibrahim, semalam, JDT berjaya meneruskan rentak kemenangan mereka 10 tahun berturut-turut sejak 2013 dalam perlawanan pertama liga apabila telah membenam cabaran Penang dengan kemenangan tipis 1-0 hasil gol tandukkan penyerang sensasi mereka, Bergson da Silva.
Tomas Trucha: “Saya Tahu ‘Coach’ JDT ‘Complaint’, Tapi Kami Harus Lakukannya Berdepan Mereka”
Ia bukan malam yang mudah buat juara Sumbangsih 2022 itu apabila lawan turun dengan formasi 5-4-1 dan pendekatan ‘ultra defensive’ yang menyaksikan tuan rumah bergelut untuk meledak jaringan. Selepas lebih sejam mencuba, akhirnya Bergson berjaya juga memecah kebuntuan hasil hantaran lambung Arif Aiman.
Selain pendekatan bertahan, ketangkasan penjaga gol Harimau Kumbang, Khatul Anuar juga menyukarkan JDT. Deretan percubaan daripada pemain-pemain bintang Harimau Selatan telah berjaya dinafikannya sejak awal.
TMJ meninggalkan komennya di artikel Semuanya BOLA di Instagram berkaitan kenyataan Tomas Trucha di sidang media, malam tadi. Namun, ia bukanlah tentang taktikal ‘parking bus’ yang dipraktikkan oleh Penang.
“Parking bas ok. Tetapi ‘time wasting’ teruk. Bayangkan ‘stats’ kami menunjukkan kami hanya bermain 46 minit sahaja. Yang lain setiap 10 minit, 7 minit jatuh. Kita sahaja negara di mana setiap kali ‘goalkeeper save’, dia akan baring selama 3 minit. Sampai bila nak macam ni?” soal TMJ terhadap pendekatan yang diguna pakai lawan.
Dan sesuatu yang menarik adalah apabila pemilik JDT itu menyatakan yang pemain import Harimau Kumbang mendedahkan sesuatu kepada jurulatihnya. “Apabila coach kami tanya ‘foreign player’ Penang, mereka cakap coach punya ‘instruction’. Mulai dari minit ke-5 hingga habis,” dedahnya lanjut tentang perkara tersebut itu.
Sebelum ini ada tersebar gambar Benjamin Mora bercakap dengan pemain import baharu Penang, Hilal El-Helwe. Ramai yang tertanya-tanya, apa yang dibualkan oleh kedua-dua individu tersebut pada ketika itu.
Mungkinkah Hilal El-Helwe merupakan pemain import yang mendedahkan arahan taktikal Tomas Trucha?