Skuad hasil projek yang dihasilkan oleh Akademi Mokhtar Dahari (AMD) kini terus menunjukkan kualiti mereka apabila berjaya merangkul kejayaan dalam kejohanan Inter Club Football League (ICFL) di Tanah Merah, Kelantan.
Dalam perlawanan akhir yang diadakan semalam, AMD yang menghantar dua pasukan iaitu AMD A dan AMD B berjaya merangkul kedudukan tiga terbaik dalam kejohanan tersebut.
AMD A berjaya mara ke perlawanan akhir dan mereka menewaskan Grey United dengan jaringan 1-0.
Sementara AMD B pula memperoleh tempat ketiga dalam perlawanan third place play-off menewaskan Mutiara Soccer Allstar.
Melihat kepada kejayaan skuad AMD dan juga kejohanan ini secara keseluruhan, Presiden ICFL, Datuk Kamil Mokhtar berkata beliau berbangga dengan kesemua pasukan yang bertanding.
Menurut beliau, kesemua pasukan mengambil inspirasi daripada skuad AMD, dan apabila mereka berjaya bersaing dengan mereka itu menunjukkan sesuatu yang positif.
“Walaupun AMD A menjadi juara namun saya bangga dengan semua pemain yang bertanding. Mereka telah buktikan bahawa mereka juga setaraf dan setanding dengan AMD A dan AMD B yang mereka jadikan idola selama ini.”
“Saya sangat teruja dengan semangat pemain-pemain yang memberikan daya saing diluar jangkaan menentang AMD A dan AMD B sepanjang kejohanan.”
Kejohanan ICFL yang diadakan di Kelantan merupakan edisi Pantai Timur sebelum ianya melakukan jelajah ke zon Utara dan zon Tengah iaitu di Kuala Lumpur.
Sebanyak 16 pasukan yang mengambil bahagian dalam kejohanan ini, iaitu:
- AMD A
- AMD B
- Grey United
- Grey United B
- Mutiara Soccer Allstar
- Afza United
- Air Merah
- Junior Mutiara
- Harimau Biru
- NFFA
- PLD Paduka
- Boys of Super Sombilan
- MSN Melaka A
- MSN Melaka B
- DK United
- Red Eagle
Lebih menarik mengenai kejohanan ini, mereka memperkenalkan kategori loserpool. Format tersebut berfungsi untuk mencari pemenang dalam kalangan kelab-kelab terbawah dalam kejohanan ini.
Grey United B menjadi johan bagi kategori ini sementara Junior Mutiara menjadi naib johan selepas kalah di perlawanan akhir dengan jaringan 2-0.
ICFL menawarkan slot ke kejohanan peringkat Asia bagi empat pasukan terbaik.