Seperti yang diketahui, negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu sedang dilanda musibah banjir dan tentunya persiapan pasukan terjejas, namun Nafuzi Zain berkata beliau sudah ada bayangan skuad utamanya.
Mengakui persiapan pasukan sedikit terjejas, pengendali Terengganu FC itu berkata yang mereka tidak boleh berehat dan terus berlatih selagi boleh sebelum aksi pembukaan Liga Super 2022 berdepan Sri Pahang nanti.
Terengganu akan turun ke Stadium Darul Makmur pada Sabtu ini untuk berdepan jiran, Sri Pahang dalam situasi yang kurang baik. Begitupun, beliau sudah ada bayangan barisan pemain yang akan diturunkan berdepan Tok Gajah. Tentunya mereka mengharapkan langkah kanan dengan tiga mata penuh bagi membuka saingan.
“Memang keadaan di Terengganu sepanjang beberapa hari lalu hujan lebat tanpa henti serta berangin, jadi daripada segi persiapan kami memang terjejas berdasarkan apa yang sudah kami rancang.
“Kami tidak dapat mengadakan latihan seperti yang dirancangkan. Apapun, kami perlu meneruskannya [latihan] dan tidak boleh berehat. Apa sahaja aktiviti yang boleh kami lakukan, kami lakukan.”
Nafuzi Zain kepada Astro Arena
#BHsukan Pengendali TFC, Nafuzi Zain sudah mempunyai bayangan kesebelasan utama berdepan Sri Pahang FC pada aksi pertama saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur, Sabtu ini.https://t.co/zaHJdxuMqM
— Berita Harian (@bharianmy) March 2, 2022
Beliau turut berkata yang persiapan terakhir dalam sesi latihan amat penting untuk sesuatu perlawanan.
Ini kerana, terdapat beberapa lagi pemain yang belum beliau dapat uji kemampuan mereka. Walaupun sudah ada pilihan pemain untuk diturunkan nanti, namun segalanya masih boleh berubah dengan situasi Covid-19.
“Bayangan kesebelasan utama sudah ada untuk berdepan dengan Sri Pahang FC, Sabtu ini. Saya juga berpuas hati dengan pemain seperti dibuktikan ketika aksi persahabatan kompetitif [yang dilalui].
“Tapi bagi memantapkan lagi pasukan, ada beberapa pemain yang masih diuji sebelum disenaraikan [dalam kesebelasan utama]. Ini kerana, saya mahu menurunkan barisan terbaik dalam aksi pertama itu.
Nafuzi Zain kepada Berita Harian
#bolatime Gandingan pemain baru sandaran skuad Sri Pahang musim ini. https://t.co/AOdaQfOnU0
— Harian Metro (@hmetromy) February 25, 2022
Bagi Nafuzi Zain, cabaran Sri Pahang tidak boleh dipandang rendah kerana mereka adalah skuad yang berbeza kali ini. Selain melantik jurulatih baharu menggantikan Dollah Salleh, mereka juga memiliki pemain-pemain tempatan dan import yang mampu memberikan cabaran buat Terengganu dalam perlawanan pertama nanti.
Selepas Sri Pahang, Terengganu akan melayan kunjungan pasukan promosi musim ini, Negeri Sembilan FC pada Rabu. Adakah Sang Penyu mampu meraih enam mata penuh dalam dua aksi awal Liga Super nanti? Jika mereka gagal dalam dua perlawanan itu, adakah musibah banjir boleh dijadikan alasan oleh Nafuzi Zain?