Awal pagi semalam, Liverpool berjaya meraih kejuaraan kali kesembilan mereka untuk saingan Carabao Cup setelah mereka berjaya menafikan cabaran oleh Chelsea menerusi penentuan sepak penalti di Stadium Wembley.
Dalam aksi itu, Jordan Henderson selaku kapten pasukan antara yang paling gembira dengan kemenangan tersebut kerana beliau akui pada awal dahulu dia antara pemain yang sentiasa merasa kehilangan dan bergelut untuk mencipta sesuatu bersama pasukan.
Setelah beberapa tahun bersama skuad, beliau kini sentiasa dahagakan kemenangan dan segala perkara negatif dalam diri bersama rakan sepasukan terhapus begitu sahaja.
“Tekanan sentiasa memuncak, adakala saya merasakan simptom untuk menarik diri dalam pasukan. Ini kerana, setiap kali saya melepasi satu garisan, bakal ada jurang yang lebih jauh.
“Namun kini saya berfikir untuk menggapainya lagi. Apa yang saya inginkan bersama Liverpool adalah mencatat setiap kemenangan”, ulas beliau.
Selain Henderson, kebanyakan rakan sepasukan lain turut mempunyai pemikiran yang sama seperti beliau. Mereka juga mengakui Klopp banyak membimbing skuad dengan bagus tanpa mengabaikan bakat setiap pemain.
Ini menjadi sebab utama mengapa mereka bersungguh-sungguh untuk memperoleh kejuaraan tersebut pada awal pagi tadi. Kekalahan kepada Liverpool hanya akan merencatkan momentum pasukan yang sudah dibini sejak dua bulan lalu dan impian untuk meraih gelaran juara hanya akan menjadi mimpi.
“Ramai yang bercakap mengenai kemenangan kami ini dengan sesuatu yang positif, tetapi segalanya akan berubah jika kami gagal memberi corak permainan yang menarik.
“Ini adalah kemenangan yang kami cari. Kami hanya menang sekiranya kami mencapai tahap yang terbaik di segenap sudut”, tambah Henderson menerusi Daily Mail pada sidang media pra-perlawanan.
Dan itu yang dibuktikan pasukan ini dengan mencatat keputusan yang positif bersama aksi yang sangat baik sepanjang perlawanan.
Mereka saling berbalas serangan bersama lawan, Chelsea. Ada situasi percubaan berbahaya dari pemain lawan iaitu Mason Mount yang terkena palang dan tiga gol dari skuad kendalian Thomas Tuchel yang tidak disahkan sebelum Liverpool muncul juara.
Rekod kemenangan sembilan kali ini juga mungkin tidak dapat terhasil sekiranya tanpa kelibat Caoimhin Kelleher. Penjaga gol muda ini berjaya mempamerkan corak permainan yang sangat bertenaga di hadapan gawang gol termasuk berjaya menyelamatkan satu percubaan berbahaya dari Christian Pulisic seawal enam minit perlawanan.
Walaupun terdapat hujah yang mengatakan Alisson Becker seharusnya dipilih menjaga gawang pada perlawanan tersebut, namun Klopp berpegang teguh dengan pendirian beliau setelah melihat aksi yang dipamerkan pemain itu dalam pusingan sebelum ini sewaktu menentang Leicester City dan Arsenal.
“Walaupun bola sepak merupakan sukan profesional, kita tetap perlukan beberapa tuang sentimen mengenai para pemain. Kelleher masih lagi muda dan telah beraksi dalam semua kejuaraan disertai Liverpool.
“Saya memberinya beraksi atas sebab sebagai seorang pengurus profesional. Dia berjaya buktikan dengan sebaiknya”, jelas pengendali utama itu.
Trent Alexander-Arnold pula berpendapat mengenai kemenangan tersebut sedikit sebanyak melegakan tekanan yang dihadapi oleh pasukan itu.
Namun tidak semua tekanan berjaya dipadam kerana menurut pemain pertahanan itu setiap aksi yang dibawa Liverpool turut terikat bersama beban yang besar dalam diri setiap pemain.