Krisis yang melanda benua Eropah ketika ini menyaksikan yang Rusia melancarkan serangan terhadap Ukraine.
Situasi yang berlaku itu telah menimbulkan keresahan terutamanya terhadap rakyat Ukraine.
Tekanan mula memuncak diberikan kepada Rusia dan dalam hal sukan juga apa kurangnya.
Pihak Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah mengeluarkan larangan kepada pasukan kebangsaan Rusia untuk tidak bertanding menggunakan bendera mereka.
Malah, mereka diarahkan untuk tidak menggunakan nama Rusia itu sendiri ketika bermain dalam perlawanan anjuran FIFA, sebaliknya menggunakan nama Kesatuan Bola Sepak Rusia.
Situasi ini serupa dengan larangan yang diberikan kepada Rusia ketika Sukan Olimpik 2020 di Tokyo apabila Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) melarang Rusia bertanding menggunakan bendera mereka akibat isu doping.
Sebaliknya, atlet Rusia yang mahu bertanding perlu bernaung dibawah panji Majlis Olimpik Rusia (ROC).
Semuanya diharamkan
Pengharaman yang dilakukan oleh FIFA itu bukan sahaja melibatkan penggunaan nama dan bendera sahaja.
Malah, FIFA turut melarang Rusia daripada bermain perlawanan anjuran mereka dimana-mana tanah negara itu.
Menurut BBC Sport, FIFA turut mengarahkan Rusia untuk bermain di gelanggang neutral yang terletak luar dari negar itu.
Larangan yang dikeluarkan oleh FIFA itu jelas sekali sebagai salah satu cara mereka untuk memberikan tekanan kepada negara itu yang mengambil jalan keganasan terhadap Ukraine.
Ianya menjadi penambah rasa kepada tindakan beberapa negara seperti Poland, Sweden dan Republik Czech yang secara terbuka tidak mahu menentang Rusia dalam pusingan play-off Piala Dunia 2022.
Malah, negara-negara seperti England dan Wales juga tidak mahu bertemu dengan mereka jika ditakdirkan bertemu dalam mana-mana kejohanan.