Juara Liga Premier 2021, Negeri Sembilan yakin untuk mempertahankan kedudukan mereka pada musim ini dalam saingan Liga Super setelah hampir beberapa tahun sebelum itu tidak konsisten.
Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri selaku Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) mengingatkan pasukan tersebut supaya perlu memastikan mereka bertahan lama dalam saingan Liga Super musim ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Syukur kerana NSFC dapat kembali beraksi di Liga Super. Kita mahu pasukan menunjukkan prestasi membanggakan, dan sasaran kami dapat kekal beraksi bukan hanya untuk satu musim tetapi seterusnya.
“Kita tidak mahu hanya beraksi bagi satu musim dan turun liga…pasukan perlu menunjukkan saingan sengit untuk terus kekal di dalam Liga Super,” katanya kepada pemberita menerusi Bernama selepas majlis perasmian jersi pasukan dan memperkenalkan pasukan NSFC bagi Liga Super di sini, hari semalam.
Dalam majlis tersebut, turut hadir Datuk Dr Razali Ab Malik selaku Timbalan Presiden PBNS dan Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani yang merupakan Naib Presiden PBNS.
Jelas beliau, sehingga kini persiapan rapi mengenai urus belanja pasukan musim ini telah dibuat dengn baik oleh persatuan dan jumlah perbelanjaan juga lebih meningkat berbanding ketika beraksi di Liga Premier.
Tambahnya lagi, persatuan berjaya mengatur perbelanjaan dalam saingan Liga Super lebih awal, iaitu dengan mengumpul dana mencukupi untuk pasukan kekal konsisten musim ini.
Pada masa yang sama, jelas Tunku Syed Razman mengenai harga caj tiket masih lagi sama seperti tahun sebelumnya kepada penonton dengan usaha untuk menarik lebih ramai penyokong memberi sokongan buat pasukan di stadium.
Mengenai persiapan pasukan, Mohamad Zaquan Adha sah dilantik selaku kapten pasukan musim ini dan beliau optimis untuk mampu bertahan lebih lama dalam saingan Liga Super selain bersemangat untuk memulakan saingan liga musim ini.
“Saya optimis dengan sasaran pihak pengurusan… pasukan perlu ada saingan yang lebih kompetitif supaya kami dapat tambah baik prestasi pasukan dalam saingan liga musim ini,” katanya.
Dalam majlis tersebut, lima pemain import musim ini telah diperkenalkan oleh NSFC untuk memberi sengat dalam skuad tersebut. Pemain-pemain import tersebut ialah Herold Mark Goulon dari Perancis, Omid David Nazari (Filipina), David Mawutor (Tajkistan), Evanonye Kossi Adetu (Ghana) dan Matheus Alves Leandro (Brazil).