“Kita Tunggu Prestasi Sebenar Mereka Pada Piala Asia, Baru Boleh Nilai” – B.Satiananthan

B. Satianathan

Selepas tampil dengan aksi yang hambar sehingga gagal melayakkan diri ke pusingan separuh akhir pada Kejuaraan AFF B-23 baru ini di Phnom Penh, nyata Skuad Bawah-23 (B-23) negara telah mendapat pengajaran yang sangat berguna untuk masa hadapan.

Skuad kendalian Brad Maloney terpaksa menerima kenyataan yang pahit apabila pulang lebih awal selepas gagal melayakkan diri ke  pusingan separuh akhir dalam saingan tersebut setelah tewas dua kali di tangan pasukan Laos dalam Kumpulan B.

Ramai pemerhati bola sepak negara menjangkakan skuad muda ini bakal menjadi pasukan belasahan pada pusingan akhir Piala Asia B-23 yang bakal berlangsung di Uzbekistan pada Jun depan  setelah melihat aksi yang terumbang ambing dipamerkan sewaktu menentang Laos tempoh hari.

B.Satiananthan selaku Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) memberi pandangan seharusnya Maloney dan barisan kejurulatihan lain wajar mempelajari sesuatu atas kegagalan melepasi jangkaan ramai pihak bagi mengelak aib lebih besar di Uzbekistan tidak lama lagi.

“Sudah tentu apa yang berlaku di Kemboja menjadi pengajaran terbaik kepada pemain-pemain muda negara. Keputusan itu satu perkara yang harus diambil perhatian tetapi yang lebih penting pendedahan dalam aksi antarabangsa.

“Saya percaya penyokong tidak mahu pasukan negara menjadi mangsa belasahan pada Piala Asia nanti. Jadi saya harap apa yang berlaku di Kemboja memberikan satu ‘wake up call’ kepada pasukan negara untuk beraksi lebih baik di Uzbekistan.

“Di sana nanti, mereka akan menentang pasukan lebih kuat seperti Korea Selatan. Disebabkan itu, pasukan negara harus lebih bersedia jika tidak mahu menerima keputusan lebih buruk apabila berdepan pasukan seperti Korea Selatan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Malaysia dilihat bakal berdepan tugas getir pada aksi pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 nanti apabila skuad muda negara bakal berdepan jaguh bola sepak Asia yang juga juara edisi 2020, Korea Selatan selain dua gergasi dari Asia Tenggara iaitu Thailand dan Vitenam dalam saingan Kumpulan C.

Ketika ditanya mengenai prestasi hambar yang dipamerkan oleh skuad B-23 baru ini, jelas Satiananthan mereka tidak seharusnya dipersalahkan sepenuhnya walaupun tampil dengan corak permainan yang tidak begitu menyakinan sewaktu dua kali bertemu Laos.

“Pada pendapat saya, ramai sebenarnya yang tidak tahu sasaran skuad B-23 negara adalah Sukan SEA dan semestinya Piala Asia Jun nanti. Sebab itulah pada Kejuaraan AFF kali ini, ramai pemain baharu yang ditampilkan.

“Kalau semua kejohanan mesti nak jadi juara, selepas ini lebih baik hanya pasukan terkuat dan dibarisi pemain-pemain hebat sahaja dihantar. Masa itu juga sepatutnya tidak ada lagi istilah pendedahan kerana sasaran hanyalah untuk jadi juara,” jelasnya.

Dalam ketika itu, bekas pengendali Selangor tersebut juga berasa agak pelik dengan pelbagai kecaman yang dilemparkan oleh para penyokong serta segelintir pemerhati bola sepak negara atas kegagalan skuad negara untuk tampil lebih bersemangat di saingan Piala AFF -23 baru ini.

“Sebelum ini, semua puji Maloney dan pasukan negara apabila mereka melepasi Kelayakan Piala Asia B-23 di Mongolia sebagai juara Kumpulan J. Ada pula yang kata dia sebagai calon untuk jadi jurulatih skuad senior setelah peletakan jawatan Tan Cheng Hoe.

“Memanglah ketika itu corak permainan Malaysia cantik. Semuanya cantik bermula daripada hantaran bola, kawalan bola, penguasaan bola semuanya cantik. Tapi hari ini, mengapa pula Maloney dicemuh dengan pelbagai kecaman?

“Bagi saya ini tidak adil kepada Maloney dan pemain-pemain muda negara. Jadi sebaik-baiknya kita tunggu prestasi sebenar mereka pada Piala Asia di Uzbekistan nanti. Selepas itu, baru kita nilai kemampuan pasukan muda negara ini,” ujarnya.

Sumber:
Sinar Harian

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN