Mungkin ada tertanya-tanya dan ada segelintir mempersoalkan tentang pelantikan pengendali Sarawak United, E Elavarasan sebagai penolong jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon yang telah diumumkan tempohari.
Malah, Kim Pan-gon sendiri telah bertemu dengan calon-calon pembantunya sebelum membuat keputusan tersebut dan menurutnya, Elavarasan mampu membantunya dalam memberi informasi tepat, nasihat dan pendapat serta beberapa perkara lain lagi. Sebagai ‘orang baharu’ di Malaysia, bantuannya amat ditagih.
Disebalik ada yang mempersoalkan pelantikan pengendali berusia 60 tahun itu, rata-rata yang mengikuti rapat arena bola sepak tempatan menyokong. Jadi, apa kelebihannya yang dapat membantu Kim Pan-gon nanti?
Sistem taktikal ‘up to date’ dan tak lapuk
Dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), Elavarasan merupakan antara pengendali yang dilihat ‘celik’ taktikal.
Bukan menafikan kemampuan pengendali muda lain, namun, Elavarasan ada reputasinya yang tersendiri.
Menurut bekas pengurus PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid yang telah bercakap kepada Harian Metro tentang kelebihan Elavarasan, “[Beliau] sentiasa ‘update’ dengan taktikal terkini bola sepak dan ‘trend’ semasa. Beliau ‘up to date’ dalam sistem terkini bola sepak dan berupaya membaca taktikal [lawan] dengan baik.”
Dari segi pengurusan taktikal, beliau merupakan antara empat pengendali yang gunakan formasi bek bertiga selain Sabah FC, PJ City dan Negeri Sembilan FC. Sistem ini dilihat mula mendapat tempat di Liga M selain formasi biasa 4-4-2 yang sudah terlalu biasa digunakan. Dan itu bukan formasi tunggalnya – beliau fleksibel.
Beliau pernah menggunakan formasi taktikal 4-4-2 Diamond sebelum bertukar pula kepada formasi 3-5-2.
Analisis: 4 Pasukan Menggunakan Sistem Bek Bertiga Yang Semakin Mendapat Tempat Di Liga Malaysia
Masih ingat bagaimana pasukannya berjaya menundukkan pasukan di kedudukan ketiga Liga Super 2021, Penang FC di Piala Malaysia 2021? Pada awalnya, tiada harapan diletakkan kepada skuad Enggang Emas.
Penang yang turun dengan barisan terampuh mereka berjaya dijinakkan 3-1 di halaman mereka sendiri. Jelas, Elavarasan melakukan kerja rumah yang banyak untuk melemahkan kekuatan jentera tengah skuad Harimau Kumbang. Menariknya, Elavarasan menggunakan pemain sayap, Tommy Mawat Bada sebagai kunci utamanya.
Pengalaman luas di Liga Premier dan Liga Super
Berbanding calon lain, Elavarasan mungkin berkelebihan dengan penglibatannya dalam saingan Liga Malaysia sama ada di Liga Premier mahupun Liga Super. Beliau mula terlibat dalam bidang kejurulatihan sejak 1994 dan telah membimbing beberapa pasukan. Pasukannya mungkin tampak ‘biasa-biasa’ tetapi impaknya ketara.
Ada pasukan dibimbingnya meraih promosi ke Liga Super antaranya Public Bank, FELDA United dan PDRM.
Pasukan dibimbingnya bukanlah yang ternama, apatah lagi konsisten. Tetapi dibawahnya, mereka cemerlang.
Paling diingati tentunya membawa PKNS FC sehingga ke pentas akhir Piala FA 2016 – tumpas 1-2 kepada JDT.
Biarpun dihimpit masalah dalaman pasukan seperti di Melaka United dan terbaharu di Sarawak United, namun beliau berjaya mengharunginya. Malah, bersama Sarawak United, mereka berjaya meraih promosi ke Liga Super. Namakan pasukan mana yang gagal dibawa ke Liga Super – hampir semuanya telah berjaya ‘diterbangkan’.
Jelas, bukan hanya berpengalaman dibawanya nanti, mentaliti tak mudah mengalah biarpun pasukan ‘kerdil’ juga termasuk dalam pakej. Dikenali sebagai seorang yang teliti, ia melengkapkan pakej kejurulatihannya.
“Kelebihan Ela [Elavarasan] adalah orangnya seorang yang teliti [mementingkan ketepatan], komited dan sentiasa fokus. Malah, berpengetahuan mendalam tentang pemain-pemain tempatan dan mampu menjadi jambatan dalam pengurusan pasukan dengan pemain kelak,” ulas Mahfizul mengenai kelebihan Elavarasan.
Sudah jadi pengendali di era 90-an hingga kini
Sejak era pasca semi-pro, beliau sudah bergelumang dengan bola sepak Malaysia. Jadi, beliau sudah masak dengan iklim Liga Malaysia apabila terlibat dalam kejurulatihan sejak 1994 – permulaan era profesional.
Beliau sudah melalui pelbagai zaman dan ada di antara pemain-pemain di era tersebut yang sudah menjadi ‘lawannya’ di liga. Tentunya ini membantu untuk Kim Pan-gon lebih dekat dengan iklim bola sepak negara.
Biarpun seorang jurulatih ‘otai’, namun pendekatan taktikalnya tidaklah jauh kebelakang. Beliau juga tidak statik dengan formasi taktikal yang sama dan dilihat fleksibel. Jika dilihat beliau bijak menggunakan pemain tak kira yang muda, era baharu Liga Malaysia seperti Zahril Azri mahupun yang veteran seperti Norshahrul Idlan Talaha.
♻️
Tak fikir panjang
Tak fikir longterm
🤡 https://t.co/xq5BgIPK9A— Piang Shankly (@PiangShankly) February 23, 2022
Biarlah ada yang mengatakan beliau terlalu tua untuk berada di kem negara. Setiap perkara ada kelebihan dan kekurangannya. Kim Pan-gon telah buat keputusan dan tentunya segala aspek telah diambil kira tentangnya.
Pemain-pemain tak kira yang veteran atau yang muda pasti tidak kekok untuk mendekatinya. Beliau akan menjadi ‘jambatan’ penting antara Kim Pan-gon dan para pemain yang bakal terpilih. Jika beliau masih aktif membawa pasukan tak ternama meraih promosi ke saingan Liga Super hingga kini, beliau masih relevan!
Berdasarkan tiga perkara itu, pelantikan Elavarasan dirasakan sangat membantu Kim Pan-gon untuk lebih cepat menyesuaikan diri dengan iklim bola sepak Malaysia. Beliau up to date dengan sistem bola sepak terkini, sangat berpengalaman di Liga Malaysia serta sudah berada di sistem bola sepak Malaysia sejak permulaan era pro.
Kita bukan mahukan pengganti Kim Pan-gon, tetapi jurulatih berpengalaman yang arif bola sepak tempatan untuk membantunya. Kira okaylah, Elavarasan hanya pembantu Kim Pan-gon, bukanlah jurulatih utama.