Piala Dunia Jadi Sasaran Jangka Panjang Pan Gon Untuk Malaysia

Kim Pan Gon yang merupakan pengendali baharu skuad Harimau Malaya meletakkan sasaran untuk membawa skuad kendaliannya kini melepasi suatu tahap baharu dengan tidak sekadar berfokuskan kepada rantau Asia Tenggara sahaja.

Untuk menjadikan sasaran tersebut menjadi kenyataan, beliau yang baru memulakan tugas di Kelana Jaya semalam, membuat perancangan teliti untuk membina asas yang kukuh selain bakal memberi panduan buat skuad muda agar dapat dibangunkan dengan lebih baik sebagai usaha membantu bola sepak Malaysia layak ke pentas Piala Dunia suatu masa nanti.

Pengendali Korea Selatan ini juga melaungkan keyakinan tentang kemampuan beliau untuk membawa skuad kebangsaan ke kejohanan bola sepak paling prestij itu kerana rantau Asia bakal diberikan sehingga sembilan slot pada masa hadapan sambil beliau tidak menyatakan edisi Piala Dunia yang mana bakal disertai Malaysia.

“Kami (termasuk pasukan pengurusan) akan bina asas yang kuat dahulu dan bergerak kehadapan dengan memfokuskan kepada suatu yang lebih besar, iaitu layak ke peringkat akhir Piala Dunia.

“Piala Dunia pada masa hadapan, Asia boleh dapat sembilan slot, bagi layak ke akhir, jadi saya rasa saya nak sediakan untuk itu,” katanya dalam sidang medianya yang pertama selepas dilantik sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya bulan lepas menerusi Bernama.

Mengenai Piala Dunia FIFA 2026, kejohanan tersebut bakal berlangsung dengan melibatkan tiga negara sebagai venue iaitu Kanada, Mexico, dan Amerika Syarikat selain menjadi edisi pertama mempunyai 48 pasukan bertanding, berbanding 32 pasukan sebelum itu.

Pan Gon dengan yakin berkata akan cuba yang terbaik untuk menggembirakan hati peminat untuk memberi keputusan yang baik buat skuad negara oleh kerana sasaran jangka masa panjang beliau untuk ke Piala Dunia.

Setakat ini, Pan Gon menyatakan para pemain skuad kebangsaan masih lagi serba kekurangan dari segi tahap keyakinan sewaktu beraksi di padang walaupun mempunyai potensi yang cukup baik untuk meninggalkan impak pada masa hadapan.

“Mereka (pemain) perlu percaya yang mereka adalah cukup baik, boleh capai lebih daripada peringkat Asia Tenggara… Saya akan bantu mereka untuk dapatkan keyakinan dan buatkan pasukan kuat sebagai satu pasukan dan bersatu,” katanya.

Ketika ditanya apa yang membuatkan bekas pengendali skuad kebangsaan Hong Kong ini tertarik untuk menerima tawaran Malaysia, jelas beliau skuad negara mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh dan Pan Gon sendiri teruja dengan projek baharu tersebut.

“Sebaik saya menerima tawaran ini, saya tidak teragak-agak untuk menerimanya dan ia amat menarik kerana walaupun saya boleh ke Piala Dunia 2022 di Qatar bersama pasukan kebangsaan Korea Selatan, tetapi apa yang paling menarik bagi saya saya ialah untuk bersama Malaysia.

“Saya boleh katakan, terdapat satu ruang penambahbaikan yang besar dan saya boleh lihat potensi yang banyak jika kita boleh perbetulkan beberapa perkara, untukbMalaysia meningkat ke satu tahap yang lain,” kata bekas Pengarah Pasukan Kebangsaan Persatuan Bola Sepak Korea Selatan.

Dalam masa sama Pan Gon sendiri mengakui para peminat sudah tentu meletakkan harapan yang tinggi agar beliau dapat mengembalikan Harimau Malaya ke zaman kegemilangannya selain menjelaskan mengenai dirinya yang menjadi pengendali Malaysia merupakan sesuatu perkara yang besar sepanjang karier pengurusannya.

Pada program semalam yang berlangsung turut menyaksikan acara pengenalan untuk barisan baharu penolong jurulatih Pan Gon termasuk penolong jurulatih Pau Marti Vicente dari Sepanyol, jurulatih penjaga gol Cho Jun Ho, jurulatih kecergasan Dr Gokhan Kandemir dan penganalisis Lim Jaehun.

Pengendali berusia 52 tahun itu menggantikan khidmat Tan Cheng Hoe yang telah meletak jawatannya bulan lalu dengan mengambil sikap bertanggungjawab atas kegagalan Malaysia di saingan Piala AFF 2020 lepas.

Sumber:
BERNAMA

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN