Benjamin Mora selaku pengendali utama Johor Darul Takzim melahirkan rasa teruja selepas Johor dipilih sebagai tuan rumah bagi saingan peringkat Kumpulan I dalam kancah Liga Juara-Juara Asia (ACL) oleh pihak Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang bakal membuka tirai kejohanan pada 15 April hingga 1 Mei depan.
Beliau jelas melihat keputusan itu sebagai satu kelebihan buat anak-anak buahnya yang bakal berdepan kelab-kelab Jepun, China, dan kemungkinan besar satu pasukan yang mewakili negara Thailand.
“Sudah tentu ia berita menggembirakan kerana kita akan menjadi tuan rumah buat pertama kali dalam sejarah bola sepak tanah air pada saingan kelab yang berprestij di Asia.
“Malah pemain tampak gembira kerana akan beraksi di Stadium Sultan Ibrahim dan kehadiran penyokong JDT juga akan beri motivasi untuk pemain memberi persembahan terbaik.
“Tidak dinafikan ia beri kelebihan buat JDT namun kita perlu mengambil tanggungjawab ini dengan begitu serius kerana keinginan untuk memburu slot ke pusingan seterusnya pada saingan musim ini cukup menebal ditambah dengan persiapan yang rapi ketika pramusim di Dubai, baru-baru ini,” katanya pada Berita Harian.
Pada saingan ACL kali ini, skuad kendalian Mora telah diundi bersama beberapa pasukan ternama di Asia iaitu juara liga J1, Kawasaki Frontale dari Jepun, juara Chinese Super League sebanyak lapan kali yang juga sudah dua kali beraksi di ACL, Guangzhou FC dari China selain Ulsan Hyundai dari Korea Selatan dan satu pasukan yang mewakili Thailand, Port FC.
Walaupun mengakui sukar, Mora menegaskan mengenai setiap perlawanan yang bakal dilalui nanti akan diberi tentangan yang sengit demi menjaga nama dan maruah JDT selain mahu memastikan rekod positif sebelum ini mengenai kecemerlangan skuad tersebut beraksi di Stadium Sultan Ibrahim perlu dijaga sebaiknya bagi mengelak daripada tewas kepada pasukan lawan.
Mora juga menambah impak positif mampu dirasai oleh para pemain ketika mendapat peluang beraksi di laman sendiri yang pastinya mereka mahu mempamerkan keupayaan sebenar skuad selepas tidak begitu memberi impak positif musim lalu di Thailand.
“Pada musim lalu di Thailand jadual perlawanan begitu padat dan menjejaskan corak permainan kami dan pada musim ini jadual tampak lebih fleksibel dan pasti beri kelegaan buat kami untuk memberi saingan,” katanya.