Liverpool mengukuhkan status selaku pasukan pilihan dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dengan menundukkan juara Itali Inter Milan 2-0 hasil jaringan pada lewat permainan dari Roberto Firmino dan Mohamed Salah dalam pusingan 16 di San Siro.
Inter mungkin perlu menyalahkan diri sendiri apabila gagal memanfaatkan deretan peluang sepanjang perlawanan termasuk percubaan Hakan Calhanoglu yang terkena palang pada babak pertama.
Tetapi skuad kendalian Jurgen Klopp ternyata lebih klinikal meskipun tidak berada pada tahap terbaik mereka dalam perlawanan ini untuk memecah kebuntuan pada minit ke-75 hasil tandukan Firmino yang masuk pada awal separuh masa kedua menggantikan Diogo Jota yang cedera.
Salah kemudian menggandakan kelebihan buat pasukan pelawat apabila rembatannya dalam kotak penalti terbias pada kaki pertahanan lawan yang membuatkan penjaga gol Samir Handanovic hanya mampu melihat bola bergolek masuk ke gawangnya.
🇪🇬👑 Mohamed Salah has now scored in 8 away games in a row for Liverpool in the Champions League! #UCL pic.twitter.com/2ASbnz0KxM
— UEFA Champions League (@ChampionsLeague) February 16, 2022
“Persembahan seperti ini sepatutnya memberikan keyakinan kepada kami kerana kami sebenarnya bermain dengan baik. Kami tidak berhak untuk kalah, tetapi itulah bola sepak,” ujar pengurus Inter, Simone Inzaghi.
“Saya anggap kami perlu berbangga kerana bermain dengan baik berdepan dengan salah satu pasukan terbaik di Eropah.”
Meskipun peraturan gol tempat lawan tidak lagi dilaksanakan untuk kejohanan UCL musim ini, namun bekalan dua gol itu pastinya cukup penting buat Liverpool untuk mengulangi kejayaan menjulang gelaran berprestij tersebut pada tahun 2019.
Kapten Liverpool, Virgil van Dijk dalam sidang media selepas perlawanan berkata beliau berbangga dengan komitmen rakan sepasukannya meskipun sedar beraksi di San Siro di hadapan penyokong tuan rumah bukanlah cabaran yang mudah.
“Kami telah menjangkakan bermain di bawah tekanan kerana ini adalah Liga Juara-Juara Eropah. Salah satu mesej yang kami terima sebelum perlawanan adalah bersedia untuk ‘menderita’. Ia persembahan yang baik dan kami gembira kerana tidak bolos,” ujar pertahanan Belanda itu.
Saksikan sorotan perlawanan di sini: