‘El Gran Capitan’ – Cesar Azpilicueta Pemain Pertama Dalam Sejarah Menang Semua Piala Di Stamford Bridge

Cesar Azpilicueta merupakan pemain pertama dalam sejarah Chelsea yang berjaya untuk memenangi kesemua Piala yang boleh dimenangi di Stamford Bridge.

Beliau tidak dinafikan lagi sememangnya akan dikenang sebagai legenda terhebat sepanjang zaman kelab, selepas berjaya membantu Chelsea memenangi segalanya yang mampu mereka menangi.

Hari ini beliau berjaya menjadi nadi penting Chelsea yang membantu skuad kendalian Thomas Tuchel itu untuk menjulang kejuaraan FIFA Club World Cup.

Cesar Azpilicueta bermain selama 120 minit, dan turut menjadi watak penting yang membantu Kai Havertz menjaringkan gol kemenangan Chelsea pada minit ke-120 permainan, untuk menewaskan Palmeiras 2-1 di Abu Dhabi.

Permainan minda Azpilicueta berjaya membantu Havertz menyempurnakan sepakan penalti

Pemain kebangsaan Sepanyol itu memegang bola dan menunjukkan seolah-olah beliau yang mahu mengambil sepakan penalti tersebut.

Apa yang menariknya dengan tindakan beliau itu?

Beliau sebenarnya menjadikan dirinya sebagai kambing hitam dengan pemain pasukan lawan mula bermain permainan minda dengannya kerana percaya yang beliau akan mengambil sepakan penalti tersebut.

Baik penjaga gol mahupun pemain Palmeiras, kesemua mereka jelas cuba mengganggu tumpuan Azpilicueta dan berharap agar ketua pasukan Chelsea itu akan gagal menyempurnakan sepakan penalti tersebut.

Walau bagaimanapun, ketika semua pemain sudah bersedia, beliau menyerahkan bola kepada Kai Havertz dan membiarkan pemain muda Jerman itu yang menyempurnakan sepakan penalti tersebut.

Havertz jelas sekali sudah menenangkan dirinya sendiri ketika Azpilicueta menjadi kambing hitam, sementara pemain Palmeiras sudah tentu rasa dipermainkan kerana bukan ketua pasukan The Blues itu yang mengambil sepakan penalti tersebut.

Penjaring gol kemenangan Chelsea ketika menjuarai saingan Champions League itu sekali lagi menjadi wira The Blues, dengan menyempurnakan sepakan penalti tersebut, seterusnya mengesahkan kejayaan mereka untuk menjulang kejuaraan FIFA Club World Cup.

Cesar Azpilicueta sudah memenangi semua Piala yang boleh dimenangi bersama Chelsea

Chelsea hanya mengeluarkan €8.8 juta sahaja untuk menandatangani Cesar Azpilicueta dari Marseille pada tahun 2012 yang lalu.

Hasilnya bintang Sepanyol itu telah berjaya membantu mereka memenangi pelbagai kejuaraan baik kejuaraan domestik, Eropah mahupun di pentas dunia.

Beliau pernah membantu Chelsea memenangi dua gelaran Premier League pada tahun 2015 dan 2017, League Cup pada tahun 2015 dan FA Cup pada tahun 2018.

Di pentas Eropah pula, beliau pernah menjulang dua gelaran Europa League pada musim 2012/13 dan 2018/19 serta Champions League dan Super Cup pada tahun lalu.

Terbaru, beliau turut membantu Chelsea untuk menjulang gelaran FIFA Club World di Abu Dhabi awal pagi tadi, selepas menewaskan Palmeiras 2-1.

Masih ada kejuaraan yang boleh beliau menangi

Cesar Azpilicueta mungkin bakal meninggalkan kelab pada penghujung musim ini selepas kontraknya bersama kelab tamat.

Namun sebelum beliau benar-benar pergi meninggalkan Stamford Bridge, Azpilicueta mungkin boleh membantu Chelsea untuk menjulang beberapa kejuaraan lagi.

Beliau selepas ini akan turun beraksi dalam aksi perlawanan akhir Carabao Cup bertemu Liverpool, dan ia merupakan Piala paling hampir untuk beliau bawa ke Stamford Bridge.

Cesar Azpilicueta juga masih boleh membantu Chelsea untuk menjulang kejuaraan Champions League dan FA Cup pada musim ini, memandangkan The Blues masih ada dalam pertandingan tersebut.

Melihat kepada segala pencapaian beliau, maka tidak akan mengejutkan andai nama beliau akan dikenang sebagai salah seorang legenda terhebat sepanjang zaman Chelsea di hati para peminat.

Dan satu hal yang pasti, Cesar Azpilicueta sememangnya antara ketua pasukan terbaik yang pernah Chelsea miliki selepas Frank Lampard.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN