Penang tampil dengan kenyataan media sebentar tadi di laman rasmi Facebook bagi menjelaskan isu pergaduhan yang membabitkan pasukan mereka dan Terengganu II semalam dalam Kejohanan Bolasepak 4 Penjuru sehingga melibatkan kecederaan pada muka pemain mereka, Adib Raop.
Isu mula berlaku apabila sepakan penalti skuad Harimau Kumbang yang diambil kapten pasukan, Endrick Dos Santos gagal disempurnakan pemain kelahiran Brazil itu.
Susulan itu, berlaku rasa tidak puas hati dalam kalangan pemain Penang FC ketika pemain tuan rumah meraikan kejayaan penjaga gol, Mohd Shafawi Mohamad yang tangkas mempertahankan gawangnya daripada dibolosi.
Tindakan provokasi kedua pasukan selepas itu mula mencetuskan pergaduhan besar sesama para pemain dan aksi kejar-mengejar antara pemain kedua-dua pasukan sehingga memaksa anggota keselamatan dan pegawai perlawanan masuk ke dalam padang.
Dalam insiden tersebut, Adib yang juga merupakan pemain baharu Penang mengalami kecederaan agak serius di bahagian hidung selain beberapa siri pergaduhan sesama pemain turut berlaku.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan tadi, pihak pengurusan Penang telah pun meminta pengarah teknikal dan barisan kejurulatihan untuk menyediakan laporan penuh bagi tujuan penilaian dan seterusnya dapat membantu pihak penganjur, FAM, dan MFL sekiranya diperlukan bagi membantu siasatan lanjut mengenai insiden berkenaan.
Penang juga menjelaskan mengenai pihak pengurusan juga meminta agar perlawanan itu dihentikan bagi memberi laluan mudah buat tuan rumah memenangi perlawanan tersebut sekali gus menjadi bukti semangat kesukanan yang dipamerkan untuk meraikan kejayaan tersebut yang dilihat berprestij buat Terengganu.
Dalam masa sama, pengurusan Penang juga berharap agar FAM dapat menambah baik kualiti sistem pengadilan agar isu berkenaan tidak berulang lagi pada masa akan datang khususnya membabitkan siri perlawanan persahabatan agar dapat mengendalikan pelbagai situasi tegang dengan baik.
Sehubungan itu, Penang juga tegas mengingatkan kepada barisan agar lebih tenang menghadapi tekanan dalam mana-mana perlawanan untuk menghadapi dengan cara bijaksana dan tidak termakan dengan sebarang provokasi lawan.
Penang juga dilihat tidak akan memanjangkan isu ini dan memahami mengenai situasi tegang semalam biarpun ada pemain mereka yang mengalami kecederaan teruk di bahagian muka akibat insiden pergaduhan tersebut.
Kenyataan tersebut juga menjelaskan mengenai situasi Adib yang menjadi mangsa salah faham lawan yang disangka ingin membuat provokasi sedangkan pemain berkenaan cuba meleraikan pergaduhan yang berlaku sehingga beberapa pemain Penang yang lain turut mengambil tindakan agresif bagi membalas kembali tindakan fizikal tersebut.
Tambah kenyataan itu, ujian MRI akan dibuat kepada pemain berkenaan dan pengurusan Penang berharap agar Adib kembali sembuh serta tidak terjejas untuk kembali beraksi pada perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) yang akan berlangsung.
Akhir sekali, Penang juga tampil memohon maaf kepada para penyokong atas insiden semalam selain mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diberi buat pasukan.