Penjaga gol baharu Penang, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy menganggap musim ini bakal memberi sinaran baharu buat beliau untuk menghidupkan kembali impian menyarung jersi Harimau Malaya ke peringkat antarabangsa.
Jelas beliau yang kini sangat bersemangat untuk menjadi benteng terakhir skuad kebangsaan dengan sentuhan baharu pengendali dari Korea Selatan, Kim Pan-gon yang bakal mengemudi Malaysia tidak lama lagi.
Pemain yang kini berusia 29 tahun itu berazam untuk memberikan segala yang terbaik jika nama beliau kembali dipanggil ke kem negara untuk menarik minat kejurulatihan kebangsaan supaya memilih dirinya selaku salah seorang penjaga gol.
Walaupun begitu, bekas penjaga gol Perak selama tujuh tahun juga menjelaskan beliau perlu berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh kerana menyedari posisi berkenaan terlalu sengit untuk direbut para penjaga gol yang lain terutama sekali kini ramai penjaga gol muda baharu yang berbakat besar yang muncul dalam persada bola sepak tanah air.
“Seperti pemain lain, saya juga berhasrat untuk kembali membuat penampilan bersama skuad Harimau Malaya musim ini di pentas antarabangsa selepas kali terakhir menyarung jersi kebangsaan lebih kurang empat tahun lalu.
“Jika diberi peluang sekali lagi, sudah tentu saya akan memberikan persembahan terbaik sekali gus membuka buku baharu dalam meneruskan karier bola sepak.
“Namun saya akui bukan mudah memburu tempat dalam pasukan kebangsaan. Justeru, saya tiada pilihan lain kecuali perlu menyajikan persembahan terbaik bersama Penang FC musim ini dan selebihnya terpulang kepada ketua jurulatih, Pan Gon yang sudah pasti mahukan pemain terbaik menjelang pusingan kelayakan Piala Asia 2023 Jun nanti,” katanya ketika ditemui di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, melalui Berita Harian.
Penjaga gol tersebut sebelum itu juga sudah mencipta sembilan penampilan bersama skuad kebangsaan kini bersama Penang baharu saja selesai dalam Kejohanan Piala Menteri Besar Terengganu. Turut beraksi dalam kejohanan tersebut merupakan Sri Pahang dan dua pasukan tuan rumah, Terengganu dan Terengganu II.
Hafizul ketika ditanya mengenai posisi beliau yang mempunyai persaingan sengit ketika ini bersama Penang dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) mengakui sukar untuk dirinya berasa selesa dan perlu lebih berusaha untuk merebut kedudukan nombor satu sebagai penjaga gawang skuad Harimau Kumbang itu walaupun mempunyai kelebihan dari segi pengalaman beliau yang pernah menjadi penjaga gol kebangsaan dan Harimau Muda B.
“Dua lagi penjaga gol iaitu Khatul Anuar Md Jalil dan Shafiq Afifi Suhaimi masing-masing tidak kurang hebatnya. Bagaimanapun saya tekad untuk memperagakan aksi terbaik ketika sesi latihan ataupun perlawanan pemanas badan lebih-lebih lagi kini saya semakin serasi dengan corak latihan jurulatih, Tomas Trucha,” katanya.
Penjaga gol yang memiliki aset ketinggian 1.85 meter itu kali terakhir menyertai kem kebangsaan pada tahun 2018 sewaktu pasukan negara menewaskan Fiji 1-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.