‘Boleh Tetapi Sukar’ – Mengapa Impian Zamsaham Bantu FAM Laksana VAR Hampir Mustahil

‘Boleh tetapi sukar’. Itulah pendapat penulis apabila terbaca laporan akhbar mengenai niat pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman untuk membantu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menggunakan teknologi  video bantuan pengadil (VAR) bagi meningkatkan mutu pengadilan dalam Liga Malaysia (Liga M) dianggap sukar dan hampir mustahil.

Walaupun sukar dan hampir mustahil, ini tidak bermakna VAR langsung tidak boleh diusahakan di saingan Liga M seperti mana yang diimpikan oleh usahawaan burger dan perhotelan yang turut dikenali dengan panggilan Zamsaham itu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Dato Haji Hamidin Mohd Amin turut menggesa Zamsaham untuk berjumpa dengan beliau terus sekiranya benar ingin membantu badan bola sepak itu mengimplementasikan VAR di Liga M.

Dan perkara itu harus dilakukan dengan segera berdasarkan sebab yang akan kami jelaskan selanjutnya di dalam artikel ini.

Berapakah kos pemasangan VAR?

Kos pemasangan VAR di sebuah stadium dianggarkan bernilai RM 616,710 dan memerlukan bajet RM7.4 juta jika mahu dipasangkan pada 12 stadium pasukan Liga Super.

Ini tidak termasuk kos unruk pengadil tempatan yang perlu dihantar menjalani kursus tambahan untuk mempelajari cara pengendalian VAR agar tidak timbul sebarang masalah.

Di sinilah Zamsaham berpendapat beliau boleh membantu dengan melakukan pelaburan, sekaligus membantu FAM memantapkan lagi perjalanan Liga Malaysia.

Sudah nama pun pelaburan, maka secara langsung ini juga sebenarnya peluang untuk mana-mana pihak termasuk Zamsaham untuk meraih sedikit keuntungan.

Sebenarnya kos pemasangan VAR adalah berbeza di seluruh dunia. Ia juga dipengaruhi oleh keadaan dan fasiliti sedia ada di sesebuah stadium.

Bagaimana VAR buat duit?

Namun kita semua harus faham perbezaan kos pemasangan dan kos penggunaan terlebih dahulu. Selain daripada penyediaan fasiliti asas untuk VAR boleh dipasang/diguna di stadium, penggunaannya juga memerlukan kos yang perlu dibayar setiap perlawanan atau musim.

Jika nilai RM7.4 juta seperti di atas adalah anggaran kos pemasangan VAR di 12 stadium yang digunakan di Liga M, berapakah pula kos penggunaan VAR?

Sebenarnya VAR sememangnya adalah satu bentuk perniagaan. Mengapa kami berkata demikian? Ini kerana teknologi tersebut berbentu sewaan yang perlu dijelaskan apabila digunakan. Setiap penganjur harus membayar kepada pemilik VAR iaitu FIFA dan IFAB.

VAR merupakan teknologi yang sudah dipatenkan dan ianya milik FIFA dan IFAB. Oleh itu kesemua VAR yang ada adalah perlu menggunakan VAR yang disediakan oleh FIFA berkuatkuasa Julai 2020. Ini selepas IFAB (badan penggubal undang undang bola sepak FIFA) telah memindahkan hakmilik VAR kepada FIFA.

Untuk menggunakan VAR, penganjur harus membayar kos yang amat tinggi. Sebagai contoh, di Brazil, CBF membayar sekitar US$6 juta (RM25.11 juta) semusim itu VAR sahaja.

Berbeza dengan di Brazil yang membayar terus pakej RM25.11 juta semusim untuk liga utama mereka dengan 20 pasukan. Di England, bayaran dikenakan berdasarkan setiap perlawanan.

Di England, setiap perlawanan yang menggunakan memerlukan kos sebanyak £9,251 (RM(RM52,372)) untuk VAR sahaja tidak termasuk Goal Line Tehnology. Ini bermaksud satu pasukan membayar sekitar RM26,186.

Mengapa idea Zamsaham sukar dilaksanakan?

Mengambil kira jumlah bayaran yang perlu dijelaskan, ini bermakna kantung FAM atau MFL sebagai penganjur haruslah berada di dalam keadaan yang cukup sihat, atau dalam kata lain ‘mewah’. Begitu juga dengan kelab-kelab bertanding sekiranya FAM dan MFL tidak sanggup menanggung kos tersebut.

Seperti mana di England, kos pemasangan dan penggunaan VAR akan dikembalikan kepada kelab. Timbul pula soalan, sejauh manakah kelab-kelab di Liga Malaysia mampu untuk menanggung kos sebegini besar setiap musim?

Katakan VAR digunakan untuk saingan Liga Super sahaja, ini bermakna FAM dan MFL perlu memikirkan kos untuk 132 perlawanan, melibatkan jumlah sekitar RM7 juta semusim untuk kos operasi selama semusim – tidak termasuk latihan untuk pengadil, pemasangan, dan penyelenggaraan (sekiranya ada).

Dengan situasi kewangan kebanyakkan kelab di Liga Malaysia yang kurang meyakinkan, mampukah sistem VAR diimplementasikan sekiranya kelab-kelab ini diminta untuk menanggung kos tersebut?

Bukanlah untuk menidakkan penggunaan VAR di Liga M, tetapi mungkin ada keperluan lain yang lebih mendesak untuk industri bola sepak tempatan yang harus diberikan keutamaan.

Misalnya mendapatkan hak penyiaran yang mampu memberikan pulangan kepada kantung kelab-kelab bertanding, atau kaedah menggalakkan penyokong memenuhi stadium pada setiap musim untuk membantu kewangan kelab. Sedikit sebanyak perkara ini akan membantu kelab membiayai kos VAR itu nanti.

Bagaimana Zamsaham boleh memainkan peranan?

Satu perkara lagi seperti yang dikatakan tadi, VAR adalah sistem dan teknologi yang telah dipatternkan oleh FIFA. Ini bermakna pemasangan VAR hanya boleh menggunakan sistem yang dipilih melalui syarikat yang telah diberikan lesen oleh FIFA.

Lima sistem yang dibenarkan dan telah dilesenkan FIFA.

Di atas adalah lima sistem yang telah diluluskan oleh FIFA untuk digunakan di dalam bola sepak setakat ini. Manakala senarai di bawah pula adalah syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan yang telah dilesenkan oleh IFAB untuk menggunakan sistem tersebut di seluruh dunia.

Senarai syarikat yang memiliki lesen IFAB untuk menggunakan VAR.

Dalam erti kata lain, FAM perlu membuat tawaran kepada FIFA untuk membenarkan VAR digunakan di Liga M. Bagaimana Zamsaham boleh membantu?

Salah satunya adalah untuk Zamsaham mewujudkan sebuah syarikat VAR system integrators (VSIs) seperti di atas khusus untuk menjadi servis provider khususnya di Malaysia.

VOGO Sports misalnya adalah sebuah syarikat yang diberikan peranan oleh CONMEBOL untuk melaksanakan penggunaan VAR di pertandingan yang dianjurkan oleh badan itu.

Untuk memastikan syarikat tersebut layak, ia terlebih dahulu harus mematuhi setiap peraturan dan garis panduan yang dipinta oleh The Implementation Assistance and Approval Programme (IAAP).

Jika sanggup, ia harus dianggap sebagai satu pelaburan yang berani daripada Zamsaham kerana kos yang perlu dikeluarkan untuk tujuan tersebut dan landskap (climate) bola sepak di dalam negara yang belum menjanjikan pulangan. Tetapi siapa tahu, Zamsaham mungkin mampu meluaskan sayap syarikat tersebut ke seluruh negara Asia Tenggara dengan tawaran yang kompetitif.

Kaedah kedua pula ialah dengan menubuhkan jawatankuasa khas untuk pelaksanaan VAR oleh FAM. Memandangkan Zamsaham begitu berminat, tidak salah sekiranya FAM melantik Zamsaham sebagai pengerusi jawatankuasa tersebut.

Melalui jawatankuasa tersebut, Zamsaham boleh betindak mengumpul dana melalui tajaan atau perolehan tertentu untuk memastikan kos VAR di Liga M mampu ditampung, sekaligus tidak membebankan kewangan kelab-kelab bertanding kerana pelaksanaanya.

Rumusan

Seperti dikatakan tadi, impian Zamsaham untuk melihat Liga M menggunakan teknologi VAR sebenarnya agak sukar, tetapi tidak bermakna tidak boleh dilaksanakan.

Berdasarkan situasi semasa bola sepak negara yang cenderung melihat kelab-kelab bertanding bergelut dengan masalah kewangan, ianya agak mustahil.

Tetapi bak kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Jika benar niat adalah untuk memajukan bola sepak negara, ia harus disokong. Namun ia tidak semudah seperti berkata-kata kerana banyak aspek teknikal dan kewangan yang mampu menjadi penghalang.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN