Untuk menjadikan Penang selaku pencabar utama kejuaraan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini, pengendali pasukan, Thomas Trucha akui dirinya amat memerlukan tenaga import di bahagian serangan untuk terus memperkukuhkan posisi tersebut dalam skuad beliau.
Namun begitu, Trucha juga berserah segalanya kepada pihak pengurusan sama ada keputusan beliau yang mahu akan khidmat import baharu itu diluluskan atau sebaliknya.
Sebelum ini, nama Hilal Al Helwe meniti dalam kalangan peminat yang mengatakan penyerang kelahiran Lubnan itu bakal memperkuatkan Penang pada musim 2022 namun kelibat import itu masih belum kelihatan.
Bagaimana Anda Boleh Hidupkan ‘Vibe’ Tonton Bola Di Kedai Mamak Bersama sooka
“Terpulang kepada pihak pengurusan untuk membawa masuk pemain itu (Hilal). Saya tidak mahu berbohong, tapi saya tidak dapat untuk bercakap benar. Apa pun kami memang memerlukan pemain import berkualiti untuk menambah lebih kekuatan di posisi itu bagi membantu penjaring terbanyak, Casagrande (Anselmo Arruda da Silva).
“Lagipun sebahagian besar tonggak musim lalu sudah tidak bersama kami sekali gus memberi cabaran besar buat saya untuk mencari formasi yang terbaik untuk membentuk pasukan musim ini.
“Tekanan pasti lebih tinggi, namun pada masa sama kami perlu realistik dan memberikan yang terbaik dengan barisan pemain sedia ada kerana kami tidak mahu bergelut di zon penyingkiran, sebaliknya jika berpeluang merebut kedudukan enam teratas.
“Buat masa ini kami ada 28 pemain yang berpeluang merebut tempat dalam kesebelasan utama, mana-mana pemain yang berjaya menyajikan persembahan terbaik akan dapat berada dalam pasukan,” katanya selepas tamat perlawanan pertama menentang Terengganu FC (TFC) dalam Kejohanan Empat Penjuru Piala Menteri Besar Terengganu yang berkesudahan seri 1-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Nerus, malam tadi menerusi Berita Harian.
Pada perlawanan semalam, Terengganu terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi import baharu mereka, Kpah Sherman pada minit ke-15 sebelum disamakan kembali oleh Penang pada minit ke-51 menerusi pemain tengah, Danial Ashraf Abdullah.
Jelas Trucha, import pertahanan baru mereka yang merupakan pemain kacukan Filipina-Itali, Christian Rontini bakal menyertai kem latihan bersama pasukan sebaik sahaja selesai menjalani sesi kuarantin.
“Pemain pertahanan itu bakal mengiringi tiga lagi tonggak import iaitu Casagrande, Endrick Dos Santos dan Rafael Vitor dalam misi getir mempertahankan kedudukan ketiga Liga Super yang diraih tahun lalu,” kata jurulatih yang digelar ‘Jurgen Klopp Malaysia’ itu.