Pemain veteran Barcelona, Dani Alves mahu rakan sepasukannya menghargai kewujudan Ousmane Dembele sementara pemain itu berada dalam skuad itu.
Selepas pemain sayap itu gagal meninggalkan kelab tersebut pada jendela perpindahan Januari, Alves mengatakan tiada cara lain selain daripada Barcelona bersatu dan mara ke depan bersama-sama.
Malah bukan pemain-pemain lain sahaja, tetapi Dembele sendiri perlu berjuang sebaiknya untuk mempertahan nama Barcelona.
“Kita perlu ambil kesempatan atas situasi ini [keberadaan Dembele di Barcelona]. Kita perlu bijak dalam perkara ini.”
“Kita perlu bertindak bijak dan mengambil kesempatan kerana kita masih lagi ada beliau.”
“Kita perlukan kesatuan dalam bilik persalinan, suasana positif perlu dicipta dan tiada aura negatif di dalamnya.”
Bagi Alves, kegagalan sesebuah perpindahan itu adalah perkara yang normal dalam bola sepak.
“Perkara sebegini berlaku dalam bola sepak tetapi lagi beliau berada di Barcelona, beliau perlu mempertahankan maruah kelab.”
Dembele sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan keluar dari Barcelona. Tiga kelab utama iaitu Manchester United, Chelsea dan Paris Saint-Germain dikatakan begitu berminat untuk mendapatkan beliau.
Situasi ini berlaku selepas Dembele gagal mendapatkan kontrak baharu dengan terma yang dimahukannya dari pihak Barcelona.
Dembele dikatakan meminta gaji yang amat tinggi dan ianya dilihat tidak sepadan dengan masa pemain itu yang lebih banyak dihabiskan di tepi padang berbanding bermain bersama pasukan.