“Amanat Untuk KPG” – Mengenang Kegagalan Nelo Vingada, Jurulatih Asing Yang Disangka ‘Dewa Penyelamat’ Harimau Malaya

Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Hong Kong, Kim Pan-gon sah dilantik sebagai pengendali skuad Harimau Malaya yang baharu. Pelantikan tersebut diumumkan sendiri oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, Datuk Haji Hamidin Mohd Amin melalui satu sidang media pada 21 Januari lalu.

Jurulatih dari Korea Selatan itu dilaporkan menerima kontrak selama dua tahun daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), dan turut bakal didatangkan bersama empat jurulatih lain sebagai pembantu pada Februari akan datang.

Kim Pan-gon dianggap sebagai jurulatih berprofil tinggi daripada negara jaguh bola sepak Asia itu, berdasarkan CV yang dimilikinya. Beliau pernah dikenali sebagai ‘Guus Hiddink Hong Kong’ kerana peranannya membangkitkan bola sepak bekas wilayah jajahan British itu.

Setelah itu Kim Pan-gon kembali ke Korea Selatan untuk mengetuai jawatankuasa khas Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA) yang betanggungjawab melantik ketua jurulatih skuad kebangsaan negara itu.

Antara tugasnya ialah melantik Paulo Bento untuk menggantikan Shin Tae-yong sebagai pengendali skuad kebangsaan Korea Selatan pada 2018.

Bola sepak Malaysia bukan asing

Simpati dengan perkembangan terkini bola sepak Malaysia dan sayang akan potensi yang beliau lihat merupakan antara sebab Kim Pan-gon menerima tawaran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menjadi pengendali baharu skuad Harimau Malaya mulai Mac hadapan.

“Secara peribadi, saya menjangkakan diri akan bergelar pengendali kelab di K-League, tetapi keadaan tidak mengizinkan atas pelbagai sebab seperti jadual kelayakan Piala Dunia. Tambahan, saya juga bersimpati dengan perkembangan dan potensi dimiliki skuad kebangsaan Malaysia dan visi mereka. Oleh sebab itu, saya memutuskan untuk pergi ke Malaysia untuk satu cabaran baharu,” kata jurulatih berusia 52 tahun itu ketika memberi alasan untuk menerima tawaran FAM.

Berdasarkan kenyataan tersebut sedikit sebanyak jurulatih itu sedar akan cabaran yang bakal dihadapinya di Malaysia. Tidak keterlaluan juga jika kita katakan beliau serba serbi mengetahui dan mengenali landskap bola sepak negara – walaupun tidak secara menyeluruh.

Bola sepak Malaysia sebenarnya bukan asing bagi Kim Pan-gon. Ketika bersama Hong Kong pada 2017, Kim berjaya mencatat dua keputusan positif menentang pasukan negara di perlawanan pusingan kelayakan Piala Asia apabila mencatat keputusan seri 1-1 di Stadium Hang Jebat, sebelum menang 2-0 di Hong Kong.

Kebetulan atau tidak, jurulatih yang membimbing pasukan Harimau Malaya pada ketika itu adalah jurulatih asing terakhir membimbing pasukan negara, iaitu Nelo Vingada.

Nazrulhad Hashim / www.asiana.my

Vingada meletakkan jawatan pada Disember 2017 sebelum digantikan oleh Tan Cheng Hoe. Dan selepas lebih empat tahun, FAM sekali lagi memutuskan untuk bergantung kepada jurulatih asing untuk mengubah nasib Harimau Malaya.

Seperti dikatakan tadi, Kim Pan-gon belum mengenali bola sepak Malaysia secara menyeluruh walaupun sedikit sebanyak mengenali landskap bola sepak negara dan cabaran yang bakal dihadapi – terutama harapan peminat dan penyokong bola sepak tempatan.

Namun demikian, sekurang-kurangnya Kim Pan-gon harus mengelak kesilapan sama yang dilakukan oleh Nelo Vingada seperti perkara di bawah:

1. Tugasan berat

Nelo Vingada datang ke Malaysia pada Mei 2017, ldan cabaran utama beliau adalah kelayakan Piala Asia 2019. Ianya bukan tugas mudah untuk mana-mana pengendali bola sepak di dunia kerana ia melibatkan pasukan Malaysia.

Jika ada iklan jawatan kerja, kami letakkan jawatan ketua jurulatih Malaysia sebagai antara kerja yang paling sukar di dunia.

Malaysia diundi sekumpulan dengan Korea Utara, Hong Kong dan Lebanon. Ramai yang menyatakan beliau datang pada masa yang salah.

Photo by Kamarul Akhir / www.asiana.my

 

Tetapi itu sudah lumrah bagi jurulatih. Tiada istilah masa kurang tepat dalam kamus hidup mereka. Ada peluang untuk bertugas mereka akan ambil.

Adaptasi yang lambat oleh Vingada antara faktor yang menambahkan lagi kesukaran beliau. Setiap jurulatih memerlukan adaptasi, namun untuk pasukan seperti Malaysia, ia memerlukan adaptasi yang sangat cepat terutama sekali pengendali asing yang tidak pernah tahu akan bola sepak Malaysia dan Asia Tenggara.

Seperti Vingada, cabaran pertama Kim Pan-gon adalah di pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023. Walaupun tidak diberikan KPI oleh FAM, harapan dan ekspektasi peminat tetap tinggi, dan adaptasi segera adalah perkara yang beliau perlukan segera.

2. Situasi luar jangka

Era Nelo Vingada bersama skuad kebangsaan turut diwarnai dengan situasi luar jangka yang tidak dapat dielakkan. Jika anda masih ingat, ketegangan politik di antara Malaysia dan Korea Utara menyebabkan beberapa perlawanan pada ketika itu tertangguh. Ia turut tidak dibantu dengan keputusan menentang Hong Kong (dikendalikan Kim Pan-gon pada ketika itu).

Bak kata jiran kita di seberang, keputusan menentang Hong Kong agak besar ongkosnya untuk dibayar. Vingada berhadapan dengan perlawanan kompetitif yang agak kuat dengan beberapa perlawanan kelayakan dibatalkan kerana perkara yang tidak dapat dielakkan.

Dua perlawanan menentang Hong Kong, Malaysia longlai dan layu. Keputusan seri dan kalah itu dicatatkan dengan corak permainan yang agak hambar. Sebelum itu Malaysia juga gagal untuk menang ke atas Myanmar dalam perlawanan persahabatan.

Situasi sama berkemungkinan dihadapi oleh Kim Pan-gon pada era pandemik yang tidak menentu pada hari ini. Ditambah lagi skuad kebangsaan pada hari ini boleh dikatakan mengalami ‘krisis keharmonian’ seperti yang didedahkan oleh beberapa pihak sebelum ini.

3. Gagal membentuk tulang belakang pasukan

‘Backbone’ dalam pasukan itu sangat penting. Vingada gagal melakukannya. Jika anda ingat bagaimana K. Rajagobal dan Ong Kim Swee yang suka memanggil beberapa pemain yang sama dalam pasukan mereka kerana itu tulang belakang pasukan mereka.

Misalnya, Ong Kim Swee sukakan pemain seperti Fakri Shaarani dan Adam Nor Azlin, kerana 2 pemain ini memahami kemahuan taktikal beliau. Peminat mungkin akan bising awalnya tetapi apabila pemain-pemain ini memberikan impak dalam perlawanan, mereka akan faham kenapa pemain-pemain ini dipilih.

Itu yang dilakukan Joachim Loew ketika terus memanggil pemain seperti Klose, Podolski dan Schweinsteiger dahulu walaupun mereka jarang bermain di kelab mereka.

Namun anda harus faham, ini pemain yang sangat tahu apa yang dikehendaki jurulatih bukannya pemain yang dipanggil setiap kali pemilihan tetapi gagal memberikan impak. Itu bukan dikira pemain tulang belakang pasukan.

Foto: Mohd Azren Jamaludin

Dollah Salleh pernah melakukannya ketika memanggil Shukor Adan satu ketika dahulu. Pemain ini tahu apa kehendak taktikal Dollah Salleh.

Pembentukan tulang belakang pasukan ini juga penting kerana pemain-pemain ini yang agak berjuang mati-matian untuk jurulatih mereka. Aspek ini tiada dalam pasukan Malaysia di bawah kendalian Vingada.

Perkara sama juga yang membuatkan Tan Cheng Hoe gagal di Piala AFF 2020 apabila gagal mendapatkan ‘backbone player’ yang kebiasannya menjadi tongak utama pasukan.

4. Statistik yang tidak dikehendaki

Ini juga menjadi isu yang panas. 2 kali Malaysia jatuh ke ranking terendah dalam sejarah iaitu ranking ke-170 dan kemudiannya ke-174.

Kurangnya perlawanan yang boleh menaikkan rangking dalam kalendar Vingada antara isu yang kita harus terima.Tetapi dalam mana-mana negara di dunia sekalipun, peminat akan bising tentang nombor pada ranking. Ini perkara yang Vingada sudah jangka dan biasa lalui dalam karier beliau.

Salah satu sebab beliau letak jawatan adalah kerana kemerosotan prestasi yang dinilai berdasarkan angka ranking.

(Photo by NurPhoto/NurPhoto via Getty Images)

Seterusnya, statistik 7 perlawanan tanpa sebarang kemenangan adalah sesuatu yang memburukkan lagi keadaan. Pada ketika itu kali terakhir Malaysia menang adalah pada 16 November 2016.

Untuk era Kim Pan-gon, pengurusan baharu FAM yang akan merancang pengurusan skuad kebangsaan akan memainkan tugas berat agar ranking FIFA boleh terus diperbaiki dengan memanfaatkan kalendar antarabangsa yang disediakan FIFA digunakan sebaik mungkin – atau perkara sama akan berulang kembali.

5. Kualiti pemain

Akhir sekali kami gariskan kualiti pemain Malaysia sendiri. Jika pemain itu sudah sampai di hadapan kotak penalti dan tak tahu nak buat apa. Ada yang tiba-tiba hilang bola ataupun terjatuh kerana gugup, itu bukan masalah pada Vingada. Itu masalah teknikal pemain.

Jika pemain itu melakukan hantaran panjang yang terus kepada penyokong itu bukan masalah pada Vingada. Tetapi realitinya, aspek teknikal pemain Malaysia memang agak statik berbanding dengan negara-negara lain seperti Indonesia, Thailand, Myanmar, Vietnam dan Filipina.

Kita selalu berbangga menewaskan pasukan seperti Indonesia walaupun hakikatnya lawan kita lebih baik kualiti teknikal. Pemain mereka lebih tajam sentuhan dengan bola. Lebih berani menggelecek.

Guilherme de Paula Malaysia Vietnam kelayakan piala dunia 2021
FOTO: FAM

Itu yang kerap diulas pengulas bola sepak luar, ‘kita menang dengan cara hodoh hari ini’. Cara bola sepak pemain yang bermain hanya untuk menang ini tidak ada legasi.

Kita akan menikmati keputusan perlawanan tetapi tiada kesinambungan di dalam aspek teknikal dan taktikal bola sepak. Perkara ini kami pernah ulas dalam artikel DNA Bola Sepak Yang Perlu Dicari, Diperinci Dan Difahami

Ada atau tidak pemain kita yang melakukan latihan tambahan di rumah ataupun ada sesi mereka sendiri secara individu?  Walau pun bukan semua, masih ramai yang masih bergantung dengan latihan berpasukan semata-mata kerana enggan gaji ditolak, kerana itu dianggap kerja hakiki.

Penutup

Untuk memastikan pasukan negara mampu melakukan langkah secara progresif, sudah tentu ruang dan masa harus diberikan kepada Kim Pan-gon dan rakan sepasukannya untuk melakukan kerja mereka.

Hakikatnya, kita semua sebagai penyokong sudah muak dengan alasan, episod tuding menuding, dan juga elusi tidak berkaitan yang akhirnya merugikan bola sepak negara dan semua pihak.

Apa yang dipinta kali ini tidak banyak. Cukuplah mereka yang berkenaan gunakan akal dan kewarasan, serta hikmah (wisdom) demi memastikan setiap usaha yang dilakukan tidak menjadi sia-sia seperti perkara yang tiada kesudahan. Seperti kata loghat utara,”pi mai, pi mai tang tu juga.”

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN