Pasukan dari Perak, Respect FC mempertaruh bakat-bakat yang bertaraf Liga Super sebagai usaha mereka dalam merangkul kejuaraan Liga M3 musim ini.
Dalam banyak-banyak pasukan yang rancak melakukan persiapan menjelang musim baharu saingan bawahan bola sepak negara, Respect adalah kelab yang menarik perhatian ramai dengan nama-nama yang dibawa masuk.
Antaranya adalah Hafiz Kamal, R. Surendren Fazrul Hazli dan Nazrin Nawi.
Kesemua nama-nama ini pernah merangkul pelbagai kejuaraan di saingan tertinggi negara. Malah, ada juga yang pernah mewakili skuad kebangsaan.
Selain empat nama disebutkan tadi, Respect juga turut mendapatkan beberapa lagi pemain lain seperti Khairul Amri, Aziz Ismail dan Hamizul Izaidi.
Bergabung, meletup!
Meletakkan barisan-barisan pemain yang dianggap bintang ini bukannya satu-satunya strategi Respect untuk mengharungi Liga M3 musim ini.
Sebaliknya, mereka turut menggunakan kudrat pemain-pemain muda untuk disulamkan dengan bakat senior yang sudah terbukti kualiti mereka.
Nama-nama seperti Zhafr Yusoff, Fiqrie Talib dan Syabani Saberi dilihat bakal menjadi sandaran Respect untuk membantu pemain-pemain senior yang ada untuk menguatkan cabaran pasukan.
Untuk rekod, Zhafir dan Fiqrie merupakan bekas pemain Kedah Darul Aman pada 2021 dan juga 2019. Sementara bagi Syabani pula merupakan tunggak skuad Piala Presiden pasukan yang sama pada 2019.
Persiapan yang jelas sekali dilihat begitu rapi oleh Respect ini turut diiringi dengan misi besar pasukan untuk mara ke Liga Premier 2023.
Namun begitu, mereka perlu mengatasi cabaran pasukan-pasukan seperti Real Chukai, Perlis United, Harini KS, Kuala Lumpur Rovers, Tok Janggut Warrios, Kijang Rangers, Bukit Tambun, PIB dan juga BRM.
Perjalanan mereka akan bermula pada 12 Februari ini apabila menentang BRM di Chemor.