Bekas pengendali negara, Datuk K. Rajagobal pada ketika ini masih belum ada sebarang perancangan yang khusus mengenai masa depannya dalam dunia bola sepak setelah sah melepaskan jawatan selaku jurulatih utama skuad kebangsaan Brunei.
Jelas beliau, ketika ini masih terlalu awal untuk dirinya mengambil apa-apa keputusan mengenai hala tuju yang baharu setelah banyak lagi perkara lain yang perlu diambil kira pada masa yang sama.
“Saya akan fikir dulu mengenai masa depan saya sebagai jurulatih. Saya tidak mahu buat keputusan terlalu cepat kerana saya baru saja melepaskan jawatan sebagai jurulatih Brunei.
“Banyak perkara perlu diambil kira sebelum saya buat sesuatu keputusan yang terbaik untuk saya. Buat masa ini, saya mahu berehat seketika,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.
Dalam satu kenyataan rasmi, pihak Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam telah menyatakan mengenai pihak mereka sudah mencapai satu persetujuan bersama Rajagobal untuk menamatkan kontrak jurulatih tersebut biar pun masih berbaki lagi setahun.
Jelas FABD, faktor utama perkara tersebut terpaksa diambil kerana krisis pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia sejak dua tahun lalu menyebabkan kedua pihak saling bersetuju demi masa depan yang lebih baik.
“Ia adalah keputusan yang sukar buat FABD. Ini kerana Datuk K Rajagobal telah berkhidmat dan menggalas tugas dengan cemerlang sejak Februari tahun lalu.
“FABD menzahirkan rasa penghargaan dan ucapan terima kasih di atas perkhidmatannya yang berjaya memberi impak yang positif dalam pembangunan bola sepak Brunei,” kata badan induk itu.
Sepanjang bersama Brunei selaku jurulatih utama setelah menggantikan Paul Smalley pada Mei 2020, Rajagobal langsung tidak pernah mengemudi skuad kendaliannya dalam mana-mana perlawanan kompetitif.
Rajagobal juga tidak berpeluang untuk membawa skuad kendaliannya ke saingan Piala AFF 2020 setelah Brunei terpaksa menarik diri dari menyertai kejohanan tersebut pada Disember lalu akibat Covid-19.
Untuk rekod bersama Harimau Malaya sebelum ini, Rajagobal boleh dianggap sebagai salah seorang jurulatih paling berjaya bersama skuad kebangsaan. Antara kejuaraan yang dibawa beliau termasuk menjuarai Piala AFF 2010 serta memenangi pingat emas bagi Sukan SEA pada tahun 2009.