Beberapa individu berkelayakan termasuk nama besar dalam kejurulatihan bola sepak negara antara yang berminat untuk menjadi pembantu kepada pengendali baharu skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon.
Mohd Saifuddin Abu Bakar selaku Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerangkan jurulatih berpengalaman tersebut antara 10 calon lain yang kini giat diteliti oleh Pengarah Teknikal badan induk tersebut, Scott O’Donell.
Menurut beliau, keputusan dari penelitian 10 calon tersebut akan dimaklumkan setelah Pan Gon selamat tiba di Malaysia setelah pengendali dari Korea Selatan itu sendiri mahu berjumpa dengan bakal pembantunya sebelum segala keputusan rasmi dibuat.
“Selain nama besar, nama kecil, nama panjang dan nama pendek pun ada. Memang ada beberapa calon yang minat untuk jadi pembantu ketua jurulatih dan perkara itu akan dimuktamadkan bila dia (Pan Gon) sampai sebab dia perlu berjump dan menemu bual calon sama ada memenuhi kriteria diinginkan.
“Tetapi nama-nama berkenaan akan disenarai pendek FAM sebelum kita beri kepada dia. Kemudian terpulang kerana dia adalah ketua jurulatih yang akan membuat keputusan siapa dia nak,” katanya ketika dihubungi Bernama pada hari semalam.
Jelas Saifuddin, keputusan ingin mendapatkan pembantu jurulatih tempatan adalah daripada Pan Gon sendiri yang mahu bersama-sama membantunya dalam membentuk skuad yang mantap.
“Pan Gon ada minta FAM calonkan seseorang kerana dia memang nak seorang jurulatih tempatan. FAM tidak mempunyai masalah menyediakannya, kita akan cari yang sesuai. Proses itu akan dikendalikan TD (Pengarah Teknikal) dan beliau juga akan menyediakan nama-nama tersebut,” katanya.
Pada Jumaat lalu, FAM telah mengumumkan mengenai pelantikan Pan Gon selaku jurulatih terbaharu Harimau Malaya setelah sebelum itu Tan Cheng Hoe meletak jawatan atas rasa tanggungjawab mengenai kegagalan di saingan Piala AFF 2020.
Pan Gon dijangka bakal tiba awal bulan depan bersama empat pembantunya iaitu seorang penolong jurulatih, seorang jurulatih penjaga gol, seorang jurulatih kecergasan dan seorang juruanalisis.
Perkara tersebut nyata mendapat pelbagai reaksi termasuk ada yang mengusulkan agar Pan Gon mendapatkan seorang pembantu jurulatih tempatan agar lebih terbiasa untuk mengenali budaya bola sepak negara dengan lebih dekat.
Dalam masa sama, Saifuddin menjelaskan FAM juga sedia mempertimbangkan cadangan Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya supaya perlantikan pengurus pasukan Harimau Malaya dan jurulatih disatukan sekali mengikut acuan negara-negara di Eropah.