Pada awal millenium, Proton pernah memilih Norwich City sebagai pasukan ditaja di dalam saingan liga Inggeris.
Proton melalui subsidiarinya di United Kingdom, Proton UK menandatangani perjanjian penajaan pada 2003. Ketika itu Norwich diurus oleh Nigel Worthington.
Pasukan itu memakai jersi yang dihasilkan oleh Xara. Logo Proton diperagakan pada jersi utama manakala Lotus pula pada persalinan tempat lawan.
Sebagai penaja, Proton dapat membuka ‘showroom’ di stadium Carrow Road di bandaraya Norwich. Ahli kelab bakal mendapat diskaun jika membeli kereta jenama Proton atau Lotus.
Pada musim pertama kerjasama menyaksikan keputusan positif iaitu Norwich menaiki Liga Perdana selaku juara Divisyen Satu Liga Bola Sepak (kini dikenali Championship).
Antara pemain utama Canaries ketika itu ialah Adam Drury, Malky Mackay, Robert Green, Darren Huckerby (gambar bawah) dan Iwan Roberts. Musim seterusnya mereka akan bermain di Liga Perdana Inggeris.
Logo Proton terpampang ke seluruh dunia. Gandingan yang bertuah.
Canaries sempat datang ke Malaysia untuk mengadakan perlawanan persahabatan. Pilihan Malaysia tewas 1-0 hasil gol Matt Svensson. Pemain Malaysia, Akmal Rizal Rakhli telah ditawarkan tempat untuk percubaan di kelab East Anglia itu.
Dipendekkan cerita, nasib Norwich teruk pada musim 2004-05 dalam saingan Liga Perdana. Mereka duduk di tangga ke-19 liga dan turun ke Championship untuk musim seterusnya.
Pada musim 2005-06 mereka pula duduk di tangga ke-9 Championship. Musim itulah musim penamat perjanjian penajaan jersi kelab Inggeris itu.
Pada akhir musim 2005-06, gandingan Canaries bersama Proton menerima pengiktirafan Anugerah Penajaan Terbaik oleh pengurusan Liga Bola Sepak (Football League). Football League membuat Anugerah Tahunan kepada penaja-penaja yang terbaik.
Penajaan Proton di Norwich telah merintis beberapa syarikat korporat untuk menjadi penaja pasukan dalam saingan Liga Inggeris serta liga di benua Eropah. Antaranya adalah SP Setia, Mister Potato dan TM.
Nota editor: Artikel ini dihasilkan oleh Ahmad Loqman Izzat (panel bual Bola Astro Awani, CEO Manchester City Malaysia dan blogger Sepakan Korner Ahmad Loqman Izzat).
Jika anda boleh menulis artikel bola sepak dan mahu artikel anda dibaca oleh lebih 300,000 peminat bola sepak setiap bulan, hantarkan artikel anda (dalam MS Word) ke [email protected].