Pemain Manchester United, Anthony Martial kini akan menamatkan zamannya bersama kelab itu apabila bakal berpindah ke Sepanyol.
Setelah gagal untuk menjadikan dirinya bintang utama pasukan selepas tujuh tahun di Old Trafford, Martial kini memilih untuk berpindah ke Sepanyol dengan menyertai Sevilla.
Perkara ini telah pun disahkan oleh pakar perpindahan pemain terkenal iaitu Fabrizio Romano.
Memetik laporan beliau, Romano mengatakan yang perpindahan Martial ke Sevilla sudah pun disahkan oleh kedua-dua kelab.
Perpindahan tersebut menyaksikan yang Martial akan bermain secara pinjaman buat Sevilla sehingga tamat musim dengan kelab Sepanyol itu akan membayar sepenuhnya gaji.
Romano turut mendedahkan yang tiada klausa pembelian terus buat Sevilla terhadap Martial.
Ini bermakna, United masih lagi mempunyai hak terhadap Martial yang kontraknya akan tamat pada 2024.
Peluang untuk bangkit dari kejatuhan
Sevilla menjadi pilihan Martial dalam usaha beliau untuk kembali bangkit dalam kariernya yang ternyata semakin malap.
Baru berusia 27 tahun, Martial yang kini berada di fasa kemuncak karier amat memerlukan minit bermain untuk memastikan dirinya tidak ‘berkarat’ sebagai pemain.
Anthony Martial: Pernah Jadi Sanjungan Di Old Trafford, Kini Menuju Kehancuran?
Dengan pemain tersebut tidak lagi menjadi pilihan Ralf Rangnick, adalah satu keputusan yang bijak untuk Martial meninggalkan sementara United untuk mencari bakatnya yang hilang.
Tempoh pinjaman selama enam bulan mungkin bukanlah tempoh yang ideal untuk membentuk Martial kembali sebagai pemain yang pernah dikenali dunia sebelum ini, tetapi lebih daripada cukup untuk mengasah kembali bakatnya yang tumpul.
Martial dijangka akan ke Sepanyol dalam masa terdekat untuk melengkapkan semua perkara berkenaan tempoh pinjamanya bersama-sama Sevilla.
Beliau akan didedahkan kepada umum sebagai pemain kelab tersebut secara rasmi tidak lama lagi.