Kecederaan lutut merupakan antara ‘mimpi ngeri’ buat mana-mana pemain bola sepak profesional. Pertahanan Kuala Lumpur City, Nik Shahrul Azim yang turut mengalaminya pasrah apabila masih belum mampu kembali ke padang menjelang saingan Liga Super 2022 yang akan bermula tidak lama lagi.
Pemain kelahiran Rantau Panjang, Kelantan itu masih memerlukan masa sehingga dua bulan untuk kembali ke padang selepas dihimpit kecederaan ketika aksi kelima peringkat kumpulan TM Piala Malaysia tahun lalu.
Nyata, ia bukan permulaan yang diinginkan oleh Nik Shahrul, namun dia tidak boleh terburu-buru kerana enggan perkara yang tidak diingini berulang dan mahu memastikan dirinya betul-betul sembuh untuk kembali mempertaruhkan aksi.
“Sekarang saya masih dalam fasa pemulihan, nak lari pun tidak boleh lagi, dan doktor ada beritahu mungkin dalam dua bulan lagi baru sembuh sepenuhnya,” ujar pemain beruisia 32 tahun itu kepada Media MFL.
“Selepas itu, baru boleh mula bina balik tahap kecergasan dan kalau untuk beraksi, berkemungkinan dalam bulan April baru saya boleh bermain.
“Saya boleh katakan ini adalah kecederaan yang paling teruk saya alami dan sebab itu saya tidak mahu ia berpanjangan kerana paling penting saya tidak mahu terlepas beraksi dalam Piala AFC.
AFC Kagum Kejayaan Luar Biasa KL City Ulangi Pencapaian Skuad 1989
“Awal-awal musim ini saya redha apabila tidak boleh bermain dan berharap dalam tempoh sekarang, proses pemulihan akan terus berjalan lancar.”
Memasuki musim ketiga bekas pemain Kelantan ini beraksi bersama Kuala Lumpur, Nik Shahrul mengakui pasukan itu banyak membantu dirinya untuk membina kembali momentum selepas menghadapi musim mencabar ketika bersama Negeri Sembilan dan PKNS FC sebelum ini.
“Alhamdulillah masih diberi peluang untuk bersama Kuala Lumpur buat musim ketiga, dan saya gembira untuk terus berada dalam pasukan ini kerana banyak yang saya belajar di sini,” tambahnya lagi.
“Awal-awal dahulu sewaktu saya mula-mula datang ke sini daripada PKNS FC, agak kekok juga nak biasakan diri dan persaingan juga sengit, tetapi sekarang dah kian serasi.
“Harapnya tahun ini akan menjadi musim yang lebih baik untuk kami semua sepertimana yang kami dah lakukan pada musim 2021 sehingga berjaya menang trofi Piala Malaysia.”
Nik Shahrul telah melakukan 16 penampilan dalam kesebelasan utama termasuk dalam saingan TM Piala Malaysia di mana Kuala Lumpur menamatkan musim 2021 di tangga keenam Liga Super.