Beberapa kelab Liga-M didakwa mendaftarkan nama jurulatih yang mempunyai lesen untuk sekadar atas kertas apabila pasukan tersebut sebenarnya dilatih oleh individu yang tidak mempunyai lesen kejurulatihan untuk melatih sepenuhnya.
Drama lakonan di atas padang bola sepak tempatan tersebut dikatakan sudah lama bertapak, namun ia seolah-olah tidak diberi perhatian oleh badan bertanggungjawab.
Datuk Jamal Nasir selaku bekas pemain kebangsaan melihat situasi yang terjadi ini bermula sejak beberapa tahun dalam suasana bola sepak negara.
Ia seolah lesen jurulatih bertauliah kini seakan boleh dijual beli oleh mana-mana pihak.
Dakwa beliau, segelintir pasukan hanya menggunakan nama jurulatih berlesen ini hanya untuk memenuhi syarat ditetapkan. Namun, tugas sebenar pasukan diambil alih oleh orang lain yang tidak memiliki sebarang lesen.
Antara faktor situasi sebegini berlaku kerana ada pasukan yang mahu akan individu tertentu melatih pasukan mereka namun ada masalah untuk didaftarkan kerana tiada lesen kejurulatihan.
Selain itu, ada juga pasukan yang mahu berjimat cermat dengan melakukan perkara sedemikian.
“Saya dapati perkara ini sudah lama berlaku dalam kancah bola sepak tanah air yang kini bertaraf profesional. Persoalannya, adakah pihak peneraju bola sepak negara tidak mengetahui atau buat-buat tak tahu.”
Jamal sendiri mengakui jika situasi ini berterusan, maka skuad negara akan terus tercicir disebabkan episod jurulatih tidak memiliki lesen kejurulatihan.
Katanya, kemahiran yang dimiliki jurulatih bertauliah tidak dapat digunakan sepenuhnya dalam menghasilkan corak permainan bola sepak yang sebenar.
Akhir sekali, beliau sempat berpesan agar jurulatih yang mempunyai lesen supaya tidak terlalu kejarkan imbuhan setiap bulan.
Hal ini kerana bekerjasama untuk perkara ini sehingga secara tak langsung umpama menggadai maruah sebagai jurulatih dan menjadi penyumbang kemerosotan pasukan.