Penang FC tewas besar 1-4 kepada musuh ketat, Kedah Darul Aman FC pada Ogos lalu yang menyaksikan dalam perlawanan itu, Harimau Kumbang telah turun beraksi tanpa lima pemain utama secara tiba-tiba.
Kemenangan itu membolehkan Kedah merapatkan jurang mata dengan Penang di kedudukan ke-3 liga, mengumpul 29 mata, dua mata di belakang skuad Harimau Kumbang – berbaki tiga perlawanan di tangan Kedah yang ditunda lima perlawanan akibat kes jangkitan Covid-19 dalam kem mereka pada hujung Julai.
Kedah memiliki skuad lebih baik berbanding Penang yang majoriti dibarisi skuad kedua tanpa penyerang, Casagrande, Endrick dos Santos, Khairu Azrin Khazali, Rafael Vitor dan Ryuji Utomo dalam skuad utama.
Sebagaimana yang pernah disaksikan sebelum itu, Penang akan bergelut jika kehilangan majoriti tonggak utama mereka. Dan kekalahan kepada Kedah itu meneruskan rentak tiga perlawanan tanpa kemenangan Penang yang sebelum itu cemerlang melalui sembilan perlawanan tanpa kalah sejak pertengahan Mac.
Kekalahan besar kepada seteru utama itu telah menjejaskan mental para penyokong terutamanya. Mereka mempersoalkan mengapa tiada penjelasan daripada pengurusan Penang sebelum dan selepas keputusan mengecewakan itu. Antara yang ke depan mempersoalkannya adalah portal penyokong, Penang Brotherhood.
Semuanya BOLA turut mengeluarkan artikel mengenainya dengan mempersoalkan jika benar pemain-pemain itu dijangkiti Covid-19, mengapa badan penganjur, Malaysian Football League (MFL) tidak menunda aksi itu?
Dan dalam sesi ‘Meet & Greet’ yang dianjurkan oleh pengurusan Penang FC dengan para penyokong semalam, persoalan ini turut diajukan wakil penyokong. Ianya lebih kepada persoalan mengapa tiada penjelasan daripada pihak pengurusan mengenai beberapa isu berbangkit yang berlaku terhadap pasukan sepanjang musim lalu.
Pengurus pasukan, Ong Eng Hua menjelaskan, “Situasi itu adakalanya semua berlaku pada masa yang sama. Ada pemain-pemain yang dijangkiti Covid-19, ada yang tercedera dan ada pula yang digantung perlawanan.”
“Terutamanya ketika kita lawan Kedah di laman lawan. Saya masih ingat, kita hilang sembilan pemain. Kadang-kadang ia ganggu kita bentuk pasukan yang bagus. Kita terpaksa main dengan pemain yang ada,” tambahnya.
Turut menjelaskan keadaan adalah Pengurus Besar, Jeffrey Chew, “Pertama sekali, apabila kita tengok komen-komen dalam Facebook, Twitter dan sebagainya, adakalanya kita respon. Adakalanya kita tak tahu nak respon, bermaksud bila kita respon, mungkin cerita itu akan jadi lebih panjang. Ia akan menambah soalan lain pula.”
“Di media sosial, semua orang ‘faceless’, kita tidak tahu siapa dia langsung. Cara terbaik, untuk musim hadapan, jika ada persoalan berbangkit, saya galakkan anda untuk hantar email, kita akan respon sepatutnya. Tapi saya setuju adakalanya pihak pengurusan perlu menjelaskan situasi. Seperti ketika berdepan Kedah,” tambahnya.
“Lima pemain utama kita tidak dibenarkan beraksi disebabkan Covid-19. MFL mahu kita batalkan perlawanan itu. Kita tidak lakukannya kerana ia bertentangan dengan prinsip pasukan. Susah, kita tahu dengan skuad yang kecil pergi ke Kedah, kita akan kalah. Ia jadi kenyataan, kita gagal beraksi baik tetapi ia perlu diteruskan.
“Ya, adakalanya kita tidak respon [persoalan penyokong]. Kami bersetuju. Tetapi pada masa akan datang, kami perlu jawab bergantung kepada situasi tertentu,” ujar Jeffrey Chew yang mewakili pengurusan pasukan.
Pertemuan antara pengurusan dan penyokong Penang FC itu telah diadakan pada petang semalam di Penang Digital Library dan turut disertai empat pemain antaranya Faiz Subri dan Danial Ashraf serta para jurulatih.