Pasukan Chelsea terus dirundung malang apabila mereka sekadar seri ketika bertemu Brighton & Hove Albion dengan keputusan terikat 1-1.
Ketika The Blues dianggap akan membawa pulang tiga mata, tampil Danny Welbeck untuk meledak gol penyamaan pada masa tambahan separuh masa kedua.
Lebih memeritkan lagi apabila pemain utama mereka, Reece James dan Andreas Christensen turut ditimpa kecederaan untuk terus memberi masalah buat Thomas Tuchel merencana taktikal dengan senarai pemain yang ada.
Ketika ini, Chelsea ketinggalan lapan mata daripada pendahulu liga, Manchester City yang baru sahaja melakar kemenangan kemenangan ke-16 mereka musim ini dalam saingan Premier League.
Tuchel ketika ditanya sama ada harapan untuk pasukan kendaliannya masih berpeluang merebut gelaran juara atau tidak hanya menjawab dengan marah,”bagaimana kami hendak terus merebutnya?”
Pengendali dari Jerman itu juga menambah,“Kami mempunyai tujuh kes Covid-19 dalam kem ketika ini. Sekurangnya lima hingga enam pemain bakal terlepas beraksi untuk enam minggu perlawanan. Jadi bagaimana kami akan terus bersaing untuk merebut kejuaraan ketika ini?”
Jelas beliau, hanya pasukan yang mempunyai skuad yang lengkap dan latihan yang mencukupi sahaja cukup kuat untuk mengharungi baki saingan liga ketika ini.
“Kami akan menjadi bodoh untuk berfikir kami boleh mengharunginya daripada wabak Covid-19 dan masalah kecederaan. Terus bermain dan semua orang akan menjadi bodoh untuk melakukannya tanpa 23 pemain yang cukup cergas”
Ditanya mengenai integriti Premier League sama ada telah terjejas akibat situasi Covid-19 yang melanda setiap pasukan yang berbeza, jelas Tuchel, ini merupakan realiti yang perlu mereka terima dan perlu menyesuaikan diri mengikut situasi yang dihadapi sendiri.
Jelas Tuchel lagi, beliau berusaha dengan sangat keras untuk mencatat kemenangan ke atas Brighton di laman sendiri.
Namun, beliau sendiri tidak tahu apa yang boleh diharapkan kepada para pemain dari segi fizikal, intensiti dan minit permainan berdasarkan situasi yang melanda pasukan sekarang.
“Tiada siapa yang tahu lagi sebabnya. Kerana kami sendiri tidak pernah melakukan beberapa perkara seperti ini. Kami bermain untuk mencuba dan mencari kesilapan yang ada serta melihat apa yang patut diubah menjadi lebih baik lagi.”