Penganalisis bola sepak tanah air, Serbegeth Singh melihat bola sepak Malaysia memerlukan perubahan besar dengan berani mengambil inisiatif menggunakan jurulatih luar.
Perkara itu ditekankan beliau setelah melihat aksi longlai yang dipamerkan Malaysia sewaktu saingan Piala AFF 2020 baru-baru ini.
Jelas beliau, bola sepak Malaysia memerlukan arus perubahan yang baharu baik dari segi kejurulatihan mahu pun para pemain.
Pendapat Shebby juga, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu membuang sifat malu untuk menggunakan khidmat jurulatih luar seperti Jepun dan Korea Selatan.
Shebby melihat suasana kem bola sepak negara seperti berada di penghujung sesuatu. Beliau tidak pasti sama ada penghujung kepada pemain atau kejurulatihan.
Walaupun mengakui jurulatih dari luar lebih berwibawa dari segi teknikal dan mempunyai matlamat yang jelas, Shebby juga berharap agar pemilihan pemain dilakukan secara neutral dan tidak diganggu sesiapa.
B. Sathianathan pula menggesa agar pihak berkaitan membuat bedah siasat untuk mencari dimana silap bola sepak Malaysia dan berharap semua aspek ditambahbaik.
Kem bola sepak Malaysia dikritik hebat baru ini ekoran aksi hambar dipamerkan di saingan Piala AFF baru ini. Kemuncaknya apabila anak buah Tan Cheng Hoe tewas besar di tangan musuh tradisi, Indonesia serta tidak layak ke pusingan separuh akhir.