Malaysia terpaksa menerima hakikat yang pedih apabila tewas di tangan pasukan Indonesia dalam perlawanan penentu peringkat Kumpulan B apabila tewas dengan keputusan 1-4 di Stadium Nasional, Singapura bagi saingan Piala AFF musim ini.
Seawal permainan Indonesia berjaya melepaskan percubaan menerusi Pratama Arhan hasil gerakan solo namun rembatan beliau sedikit tersasar untuk menyelamatkan gawang Malaysia daripada bolos pada minit ke-2.
5 minit pertama nyata menjadi milik Indonesia yang melancarkan serangan bertali arus ke kubu Malaysia. Tidak banyak yang dapat dibuat oleh skuad kebangsaan dengan hanya lebih bertahan tanpa sempat menyusun gerakan.
Gerakan solo dari sebelah kiri oleh Arif Aiman berjaya mengkucar kacirkan pertahanan Indoesia buat kali pertama namun berjaya diselamatkan oleh pertahanan lawan yang pantas mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya pada minit ke-6.
Kedua pasukan saling melancarkan serangan dan intensiti permainan semakin meningkat dengan Malaysia sudah pun beradaptasi dengan baik dalam permainan untuk mengimbangi lawan yang sejak awal permainan bermain dengan pantas.
R.Kogileswaran membuka jaringan pertama buat Malaysia seawal minit ke-11 setelah melepaskan rembatan deras dari luar kotak penalti hasil kesilapan pertahanan Indonesia yang gagal mengeluarkan bola dengan lebih baik.
Malaysia terus garang dengan serangan bertali arus dilancarkan oleh Arif Aiman dan Safawi Rasid yang berjaya merosakkan organisasi pertahanan lawan dari bahagian sisi untuk mencari Syafiq Ahmad di dalam petak penalti.
Witan Sulaiman berjaya melepaskan diri dari bahagian tepi, namun rembatan beliau lemah dan tepat ke dalam dakapan Khairul Fahmi pada minit ke-22. Indonesia lebih banyak mengasak dari bahagian kiri Malaysia setelah sedar sukar untuk melepasi dari bahagian tengah.
Sehingga 30 minit berlangsung, kedua pasukan bermain secara terbuka dan saling melancarkan serangan masing-masing ke kubu lawan tetapi tiada jaringan kedua permainan terhasil dengan masing-masing buntu untuk melepasi pertahanan antara satu sama lain.
Syafiq Ahmad hampir memberi kegembiraan seterusnya buat Malaysia namun percubaan beliau sedikit tersasar walaupun mendapat hantaran cantik daripada Safawi Rasid pada minit ke-34.
Indonesia berjaya mendapat gol penyamaan setelah mudah mereka menerobosi dari sebelah kiri untuk dihantar kepada Irfan Jaya yang bijak menyudahkan peluang pada minit ke-36. Nyata mereka bijak menggunakan kelemahan Malaysia dari sebelah kiri yang terlalu rapuh.
Ramai Umakiek sekali lagi menghukum kealpaan pertahanan Malaysia setelah gerakan solo beliau hampir memberi masalah buat Malaysia. Namun rembatan yang dibuat beliau jauh tersasar ke atas dari gawang gol Malaysia pada minit ke-37.
Malaysia sedikit hilang fokus untuk perlahan-lahan memberi lawan mengatur gerakan dan menguasai permainan. Sesekali hanya serangan balas sahaja dapat dicipta Malaysiaa namun mudah dihalang pertahanan Indonesia.
Pada minit ke-42 kelemahan benteng pertahanan Malaysia sekali lagi dihukum apabila Indonesia berjaya mendahului lawan dengan gol yang dijaringkan oleh pemain yang sama, Irfan Jaya. Kewibawaan Syahmi Safari nyata teruji apabila posisi beliau kerap dibolosi lawan untuk mencipta peluang.
Bersambung di separuh masa kedua, Malaysia berjaya mencipta percubaan tepat seawal minit ke-48 menerusi Baddrol Bakhtiar namun rembatan beliau tepat ke dalam dakapan penjaga gol lawan untuk memberi reaksi yang positif.
Indonesia nyata tidak dapat dikawal lagi ketajaman serangan mereka apabila berjaya menjaringkan gol ketiga menerusi Pratama Arhan di minit ke-50 setelah pertahanan Malaysia begitu mudah diatasi lawan.
Malaysia nyata beraksi dengan serba tidak menjadi dan sekali lagi membuka ruang buat lawan apabila gerakan Baddrol berjaya dirampas sebelum percubaan deras Irfan Jaya sedikit tersasar pada minit ke-55.
Syafiq Ahmad kembali menghidupkan peluang pada minit ke-59 dengan menjaringkan gol dalam petak penalti lawan, namun pengadil membatalkan apabila ada kekasaran terlebih dahulu dilakukan pemain Malaysia ke atas penjaga gol Indonesia.
Pada minit ke-61 Syafiq Ahmad berjaya melepaskan satu tandukan cantik untuk mencari gol kedua Malaysia tetapi bola sedikit tersasar setelah menrima hantaran cantik daripada Dion Cools.
Elkan Baggot cuba memberi cabaran buat pertahanan Malaysia dengan melepaskan satu tandukan pada minit ke-69 namun tepat ke dalam dakapan gol Khairul Fahmi untuk meredakan seketika serangan bertali arus lawan.
Malaysia semakin buntu untuk mencari jaringan gol apabila lebih kerap bertahan dan seringkali membuat kesilapan hantaran untuk mencipta sebarang peluang. Kemasukan De Paula dan Shahrel Fikri juga tidak begitu memberi impak ketajaman depan gol.
Minit ke-82, Elkan Baggot terus menutup peluang Malaysia untuk ke pusingan seterusnya apabila pemain tersebut tenang menanduk bola hasil sepakan penjuru yang hanya mampu diperhatikan begitu sahaja oleh pertahanan negara serta gagal diselamatkan oleh Khairul Fahmi untuk gol keempat Indonesia.
Semangat Indonesia semakin membara untuk terus memburu sebanyak mungkin gol. Nyata anak buah Shin Tae-yong ini mempunyai stamina yang cukup tinggi sepanjang permainan berbanding Malaysia yang terus kehilangan arah untuk mencari sebarang gol.
Keputusan kekal tamat dengan Indonesia cemerlang untuk mengajar Malaysia cara bermain bola sepak sebenar untuk kem negara dengan prestasi yang sangat bagus dalam perlawanan mala mini sekaligus memberi tamparan buat FAM yang dilihat tidak begitu serius mengenai bola sepak negara.