Pemain Perancis, Ousmane Dembele dijangka bakal mengambil keputusan untuk meninggalkan kelabnya itu Barcelona selepas kontraknya bersama pasukan itu tamat.
Desas-desus mengenai pemergian beliau kini sedang rancak dibualkan dalam kalangan media pro-Barcelona ketika ini.
Menurut laporan dari Catalan, Barcelona dikatakan sudah pun bersedia untuk menawarkan kontrak baharu kepada Dembele untuk memastikan pemain itu tersebut kekal di Nou Camp.
Akan tetapi, mereka seolah-olah hilang sabar dengan Dembele akibat pemain itu tidak mahu menyambung kontrak sambil mendambakan kenaikan gaji yang lebih tinggi daripada apa yang ditawarkan oleh Barcelona.
Untuk rekod, Dembele sudah pun menjadi pemain yang memperoleh gaji yang cukup tinggi di kelab itu dan tidak mungkin Barcelona mampu untuk memberikan apa yang dimahukannya dalam kontrak baharu.
Ditelan mati emak, diluah mati bapa
Situasi melibatkan kontrak Dembele ini pastinya membuatkan Barcelona dalam keadaan dilema.
Hal ini disebabkan sama ada dikekalkan atau tidak, ianya akan memberikan kesan mendalam kepada Barcelona dari pelbagai segi.
Jika mereka menurutkan permintaan Dembele, ianya akan mengancam situasi kewangan Barcelona yang kini sudah pun memasuki paras bahaya.
Akan tetapi, jika dilepaskan mereka turut akan mengalami kerugian dari segi kewangan kerana Barcelona tidak akan memperoleh sebarang hasil kerana pemain itu keluar secara percuma.
Tambahan pula, Xavi sebagai pengurus akan kehilangan pemain yang dianggap beliau sebagai berpotensi besar dan mampu menggerakkan pasukannya jika mentaliti yang betul diterapkan.
“Dengan cara kerjanya, Dembele mampu menjadi pemain terbaik di dunia di posisinya. Saya tiada keraguan terhadapnya, beliau mampu jadi penggoncang dunia.”
“Semuanya bergantung kepada mentaliti beliau, kami mesti jaga dan bantunya dan lanjutan kontrak ini adalah keutamaan kami.”