“Depa pun makan nasi.” Itu ungkapan penyokong Kedah mengenai pertembungan Kedah Darul Aman FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di suku akhir Piala Malaysia 2021, sambil bersikap sinis dengan situasi di kem Kedah.
Pertembungan awal dua calon pentas final nampaknya tidak dapat dielakkan apabila Kedah tumbang kepada Melaka United dalam aksi terakhir Kumpulan C dengan keputusan 0-2 di Stadium Hang Jebat, malam tadi.
Itu merupakan kali kedua mereka tewas kepada skuad Hang Tuah selepas tewas 1-3 pada perlawanan pertama. Mungkin tersilap percaturan ataupun ada masalah sedang membelenggu para pemain mereka ketika ini?
Mengikut kenyataan di laman Facebook Cakap Sukan, ia seakan-akan menggambarkan Kedah sedang melalui masalah tunggakan gaji. Malah kenyataan beberapa pemain juga tampak menjurus kepada perkara itu.
“Gaji ok ke pasukan Kedah?” menurut salah satu kemaskini status di Cakap Sukan dan ia disertakan tanda pagar #tanyaaje. Mungkin benar, ia sekadar pertanyaan atau ia satu soalan sinis kepada pihak pengurusan?
Selain itu, kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar dalam satu kemaskini statusnya di laman Instagramnya turut seperti memberi gambaran kepada sesuatu. Meraikan kemenangan ke atas Kelantan United dalam aksi sebelum tewas kepada Melaka United, lagenda hidup Kedah itu menitipkan kata, “Masih bersabar” berserta emoji peace (2).
2bulan xbayar gaji ka tu? 👀👀 @mysemuanyabola @harimaumalaya7 @ASTROARENA @hafizal_hamad @zulhelmizainal1 pic.twitter.com/WZIDNfXQDl
— 🇵🇸شاريذم يسري🇲🇾 (@sharizamy93) November 7, 2021
Renan Alves turut dilihat seperti memberi gambaran apa yang berlaku walaupun tidak secara terus. Antara katanya di laman Facebooknya, “Kami pemain profesional, kami ada keluarga, anak-anak dan tanggungjawab kami. Adakalanya apabila sesuatu tidak menjadi di padang berpunca daripada situasi di luar padang.”
Berdepan juara bertahan, JDT lebih awal sudah dianggap sukar, ditambah pula mereka akan turun tanpa tiga tonggak iaitu Kpah Sherman, Rabih Ataya dan Anumanthan Mohan yang terlibat dengan tugasan negara.
Menambah rencah, khabar angin tentang tunggakan gaji dua bulan yang tersebar ketika ini di media sosial.
Begitupun, ada dikalangan penyokong masih optimis dengan kemampuan pasukan. Antaranya muat naik status daripada Muhammad Fairuz Azizan yang berkata, “Alah, kita makan nasi depa pun makan nasi. Apa ada hal.”
“Beza depa gaji ‘on time’,” tambahnya lagi sinis di statusnya mengenai pertembungan kedua-dua pasukan.
Adakah pihak pengurusan Kedah mengambil ringan isu gaji pemain dan barisan kejurulatihan? Ketika ada pihak mahu mengambil alih pasukan pada awal musim lalu, mereka tampak beria-ia mempertahankannya. Tetapi, mereka langsung tidak mengambil pusing masalah tunggakan gaji pasukan, malah seperti membiarkan.
Adakah kata-kata TMJ, Aidil Sharin dan Baddrol Bakhtiar sebelum ini tidak cukup menjentik pihak pengurusan?
Jika diperhalusi kenyataan DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim atau Tunku Mahkota Johor (TMJ), beliau mengingatkan agar pengurusan skuad Hijau Kuning agar mengambil berat kebajikan pemain-pemain.
Katanya dalam rancangan Bola@Mamak terbitan Astro Arena, “Saya rasa pengurusan Kedah harus menjaga [kebajikan] pemain-pemain dan pasukan Kedah dengan lebih baik. Kerana mereka ‘solid’ setiap tahun.”
“Tidak kira apa masalah pun seperti masalah gaji, mereka masih memberi sepenuhnya untuk pasukan. Dengan itu, saya mengucapkan syabas kepada pemain-pemain Kedah kerana [mereka] ada sifat sabar.
“Kepada pengurusan Kedah, saya berharap mereka akan mengambil langkah lebih efektif untuk menjaga kelab ini,” ulasnya ketika ditanyakan tiga pasukan yang menarik perhatiannya dalam saingan liga musim ini.