‘Lunyai’, mungkin itulah perkataan paling tepat untuk menggambarkan keadaan Manchester United yang mengalami kekalahan yang cukup memalukan dengan jaringan 5-0 kepada Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL).
Lebih mengaibkan lagi ia berlaku di hadapan penyokong sendiri di Old Trafford yang turut menyaksikan catatan hatrik Mohamed Salah.
Walaupun United terlebih dahulu mendapat peluang awal menerusi percubaan Bruno Fernandes, namun Liverpool lebih bijak mengambil kesempatan untuk berada di hadapan pada minit keempat selepas Naby Keita yang menerima hantaran Mohamed Salah dengan tenang menewaskan David De Gea untuk gol pertama.
Liverpool hanya memerlukan 10 minit untuk menggandakan kelebihannya dengan Diogo Jota mengambil giliran selaku penjaring gol dengan menyudahkan hantaran lintang rendah Trent Alexander-Arnold.
Gol ketiga Liverpool terhasil pada minit ke-38 menerusi Salah yang memanfaatkan hantaran Keita sebelum menambah gol kedua peribadinya semasa tambahan masa babak pertama untuk terus menambah garam di luka pasukan tuan rumah.
Mana Abang Do nak letak muka? Mental koyak rabak dah ni.#MUNLIV#ManchesterUnited#PremierLeague pic.twitter.com/pxgeIk8lnb
— KOPPA (@koppatv) October 24, 2021
Mental pemain bintang United, Cristiano Ronaldo jelas koyak rabak apabila dilihat dengan sengaja menyepak bola yang berada di kaki Curtis Jones yang sudah terjatuh. Nasib penyerang itu ternyata bernasib baik selepas pengadil hanya memberikan layangan kad kuning kepadanya.
Cuba untuk memperbaiki keadaan, Solskjaer memasukkan Paul Pogba pada awal babak kedua. Tetapi lain pula yang terjadi.
Salah melengkapkan hatriknya hanya empat minit selepas perlawanan bersambung hasil dari lorongan cantik Jordan Henderson untuk menjadikan kedudukan 5-0.
The highest-scoring African player in @PremierLeague history.👑
Incredible, @MoSalah 👏 pic.twitter.com/BlUXCjM6Kr
— Liverpool FC (@LFC) October 24, 2021
Mungkin terlalu malu dan tidak tahan melihat pasukan mereka diaibkan dengan begitu teruk, penyokong United beramai-ramai meninggalkan stadium.
Tuah ternyata tidak memihak kepada United pada malam ini apabila jaringan Ronaldo dibatalkan oleh pengadil selepas semakan VAR mendapati beliau berada pada kedudukan ofsaid ketika membuat larian.
Luka bertambah pedih apabila Pogba diarahkan keluar padang pada minit ke-61 selepas melakukan terjahan terhadap Keita. Walaupun pada awalnya beliau diberikan kad kuning, namun selepas membuat semakan VAR, pengadil menukar keputusannya untuk melayangkan kad merah kepada pemain tengah Perancis tersebut.
Pada penghujung perlawanan, percubaan Cavani pula hanya singgah di palang gol dan United terus kempunan mendapatkan sebarang gol sehinggalah pengadil meniupkan wisel penamat.