Badhri Radzi Sokong Idea Safiq Rahim Ke Piala AFF 2020

Bekas kapten dan legenda The Red Warriors, Mohd Badhri bin Mohd Radzi turut bersetuju dengan idea pemain veteran, Safiq Rahim untuk dipanggil semula menyertai skuad kebangsaan Harimau Malaya untuk kejohanan Piala AFF 2020 pada Disember nanti.

Pendapat tersebut diluahkan oleh beliau melalui akaun Instagram rasmi pemain itu sendiri ketika mengulas artikel Semuanya BOLA bertajuk: ‘Panggilan Kecemasan’ Buat Safiq Rahim Sebagaimana Shukor Adan Pada Piala AFF 2014?

Artikel tersebut asalnya mengulas ketiadaan pemain seperti seorang jeneral yang berupaya mempengaruhi mentaliti pasukan ketika perlawanan, sehingga mencadangkan agar Safiq Rahim yang mempunyai profil diperlukan dipanggil semula memperkuatkan pasukan negara.

Menurut Badhri Radzi yang turut sinonim dengan panggilan Piya, skuad kebangsaan pada hari ini memerlukan karakter seperti yang dimiliki oleh pemain tengah JDT itu.

“Yee btol tu , karekter supo (seperti) Syafiq Rahim ni keno ado dale (kena ada dalam) skuad kebangsaan. Btol la hk Syukor oyak tu.. Lacarrr,” komen Piya.

Artikel tersebut turut mendapat tanda ‘Like’ dari beberapa pemain dan bekas pemain pasukan negara seperti Safawi Rasid, Indra Putra Mahayuddin, Azmi Muslim, Shahrom Kalam, dan Rezal Zambery.

Menyingkap kembali kejohanan Piala AFF Suzuki 2014, Safiq Rahim merupakan kapten pasukan, namun apabila Dollah Salleh mengambil keputusan memanggil semula Shukor Adan ke dalam pasukan, penghormatan lilitan kapten kemudiannya diberikan kepadanya.

“Saya kembali daripada persaraan atas rasa hormat dipanggil oleh Dollah Salleh dan mahu berbakti untuk negara. [Kini] saya perlu bersara [kembali],” kongsi Shukor Adan selepas berjaya memimpin skuad yang langsung tidak diberikan harapan itu mara sehingga ke pentas final sebelum tewas tipis 3-4 secara agregat kepada Thailand tujuh tahun lalu.

Untuk rekod, skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe merekodkan hanya satu kemenangan sepanjang tahun 2021 ini. Jelas sekali pasukan negara mengalami prestasi merudum, berbeza sekali dengan penampilan mereka di pusingan kelayakan Piala Asia 2021/ Piala Dunia 2022 pada 2019.

Tujuh perlawanan diadakan pada tahun ini membabitkan skuad Harimau Malaya, mereka tewas 2-0 kepada Bahrain pada 29 Mei dalam aksi persahabatan. Menyambung semula aksi kelayakan Piala Asia/Piala Dunia pada Jun, Malaysia tewas 4-0 kepada UAE, 1-2 kepada Vietnam, sebelum menang 1-0 ke atas Thailand.

Dua perlawanan persahabatan baru-baru ini menyaksikan skuad kendalian Tan Cheng Hoe diaibkan Jordan 4-0 dan dibelasah Uzbekistan 5-1.

Dalam kebanyakkan perlawanan tersebut, Malaysia dilihat mempunyai masalah di jentera tengah dan seperti terkapai-kapai tanpa pemain yang mampu memimpin permainan.

Pada masa yang sama, Safiq Rahim cemerlang bersama JDT. Aksi beliau di AFC Champions League dan Liga Super Malaysia pada musim ini bersama JDT, membuktikan dirinya masih mampu  untuk beraksi di tahap tertinggi.

Bukanlah mahu merendahkan keupayaan dan kemampuan pemain lain untuk menjadi kapten pasukan. Tetapi buat masa ini Harimau Malaya jelas hilang karakter. Dan karakter itu mampu dipenuhi dengan memanggil semula Safiq Rahim.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN