Pernah Remukkan Hati Putera Diraja Britain, Siapakah Sebenarnya Amanda Staveley?

Nama Amanda Staveley menjadi begitu popular terutama di kalangan pengikut bola sepak Liga Perdana Inggeris selepas wanita itu membantu Public Investment Fund (PIF) mengawal penuh Newcastle United melalui pengambilalihan pada minggu lalu.

Ramai juga yang tertanya-tanya siapakah Amanda Staveley sebenarnya yang berjaya memastikan Newcastle berpindah milik dari Mike Ashley ke tangan Putera Mahkota Mohammad Bin Salman.

Bukan sahaja Amanda Staveley mengepalai PIF, wanita tersebut juga memiliki 10% daripada pegangan di dalam kelab tersebut.

Jelitawan yang meremukkan hati putera

Amanda Louise Staveley lahir di Yorkshire, England pada 11 April 1973. Memiliki paras rupa seorang jelitawan, beliau pernah menjadi seorang model sebelum memilih untuk terjun ke dalam dunia bisnes.

Bukan sahaja memiliki rupa paras yang cantik, Amanda Staveley juga adalah seorang wanita yang pintar. Maka tidak hairanlah kualiti yang dimilikinya itu berjaya menarik perhatian Putera Andrew, salah seorang kerabat Diraja Britain.

Andrew ialah anak ketiga dan anak lelaki kedua Ratu Elizabeth II dan Putera Philip, Duke of Edinburgh. Pasangan tersebut dipercayai berkenalan pada awal 2000 dalam satu majlis.

Pertemuan dan hubungan di antara keduda-duanya kemudian menjurus kepada pertemuan Amanda Staveley dengan Ratu Elizabeth II dan Putera Philip.

Siapa sangka, Ratu Elizabeth II dan Putera Philip turut berkenan dengan Amanda Staveley dan bersetuju agar Putera Andrew untuk meminangnya.

Namun, pada 2003 Amanda Staveley menolak lamaran tersebut dengan alasan dirinya ingin tetap berdikari sebagai seorang wanita.

LONDON, ENGLAND – MAY 13: Amanda Staveley (L) and Mehrdad Ghodoussi attend The Old Vic Bicentenary Ball to celebrate the theatre’s 200th birthday at The Old Vic Theatre on May 13, 2018 in London, England. (Photo by David M. Benett/Dave Benett/Getty Images for The Old Vic Theatre)

“Andrew adalah orang penyayang dan saya masih peduli kepadanya. Tetapi jika saya berkahwin dengannya, kebebasan saya akan hilang,” ujar Amanda Staveley kepada Daily Mail suatu ketika dahulu.

Amanda Staveley akhirnya bertemu jodoh dengan seorang lelaki Iran-Britain, Mehrdad Ghodoussi yang merupakan seorang perunding kewangan dan mereka berkahwin pada 2011.

Mengorak langkah bidang bisnes

Amanda Staveley mulai menceburkan diri ke dalam dunia bisnes di mana beliau memulakan perniagaan restoran bermodalkan pinjaman sebanyak £180,000 dari bank pada tahun 1996.

Bukan sahaja Amanda Staveley bergelar pemilik kepada restoran tersebut. Amanda turut mengambil peranan sebagai tukang masak dan pelayan restorannya sendiri setiap hari.

(Photo by Dave M. Benett/Getty Images)

Usaha kerasnya membuahkan hasil apabila beliau memperbesarkan perniagaan restorannya, kali ini bergabung dengan Newmarket Racecourse. Dari situlah titik bermulanya Amanda Staveley mulai membina profil dirinya sebagai seorang ahli perniagaan yang berjaya.

Pendek kata, Amanda Staveley berjumpa dengan orang yang tepat di dalam urusannya sehingga berjaya menjadi jutawan, termasuk membina hubungan perniagaan dengan syarikat-syarikat dari Timur Tengah.

Wanita berpengaruh dalam bola sepak

Tidak salah sekiranya Amanda Staveley turut dilabel sebagai salah seorang wanita paling berpengaruh di dalam dunia bola sepak.

Pada 2005, beliau mengasaskan PCP Capital Partners yang mempunyai pejabat urusan di Park Lane, London dan ibu pejabat di Abu Dhabi.

Hubungan baik dengan pihak berpengaruh di Timur Tengah turut membuka laluan Amanda untuk melabur bersama Bank Barclays pada penghujung 2008.

Ianya satu kebetulan pada ketika itu pihak bank sedang mencari cara untuk meningkatkan aliran kewangan tanpa terika dengan jaminan oleh kerajaan selepas berhadapan krisis kewangan pada awal tahun tersebut.

Manchester City’s Thaksin Shinawatra (front row second left) and wife Pojaman in the stands with adviser Pairoj Piempongsant, agent Kia Joorabchian and private financier Amanda Staveley (Photo by Mike Egerton – PA Images via Getty Images)

Beliau turut memainkan peranan penting dalam usaha Shekh Mansour memiliki Manchester City dengan nilai £210 juta. Kejayaan melengkapkan pengambilalihan kelab Manchester itu dipercayai menjana komisen bernilai £10 juta kepada PCP.

Syarikat perunding kewangan tersebut kemudiannya terlibat dengan rundingan oleh Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum dari Dubai International Capital untuk membeli 49% saham Liverpool FC, namun usaha itu gagal. Liverpool yang dimiliki Fenway Sports Group (FSG) pada 2010 tetap enggan menjual pegangan mereka pada ketika itu.

Laporan dari Euromoney berkata Amanda Staveley memperolehi bayaran sebanyak £30 juta hasil usahanya itu, menjadikan nama beliau semakin popular sebagai perunding kewangan.

Sebelum 2021, Amanda Staveley cuba mengambil alih Newcastle United sebanyak dua kali.

Kali pertama ialah bidaan bernilai £300 juta pada November 2017, namun usaha beliau tidak berhasil.

Kali kedua ialah pada April 2020 melalui dana yang diserahkan oleh PIF milik Arab Saudi. Usaha tersebut berlanjutan selama beberapa bulan dan sekali lagi disahkan gagal pada 30 Julai 2020.

Amanda Staveley akhirnya berjaya dengan bidaan £305 juta pada 7 Oktober 2021, di mana 10% daripada pemilikan dipegang oleh beliau sendiri.

Pada hari ini Amanda Staveley dipercayai mempunyai kekayaan bernilai tidak kurang £110 juta.

Penyakit Huntington

Meski pun kaya raya, Amanda Staveley disahkan sebagai penghidap penyakit Huntington pada 2013. Ia adalah sejenis penyakit keturunan yang diwarisi dari ibunya.

Menyebabkan dirinya sentiasa berada di dalam keadaan stress, penyakit tersebut dikatakan punca Staveley tidak menamatkan pengajian beliau di University of Cambridge.

Penyakit Huntington adalah keadaan dimana sel-sel saraf tertentu di dalam otak mengalami kerosakkan. Kerosakan otak semakin buruk dari masa ke masa dan berupaya mempengaruhi pergerakan, kognisi (persepsi, kesedaran, pemikiran, penilaian) dan tingkah laku.

Ciri-ciri awal boleh termasuk perubahan personaliti, perubahan mood, mulai gelisah, dan perubahan tingkah laku.

Setakat ini, penyakit tersebut tidaklah menganggu Amanda Staveley secara teruk, namun beliau mengakuinya turut terkesan pada masa-masa tertentu.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN