Pada awal musim ini, tiada siapa yang melihat Penang sebagai salah sebuah pasukan yang berupaya untuk mencabar kejuaraan Liga Super.
Perhatian peminat bola sepak tempatan lebih tertumpu kepada juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan pasukan-pasukan pilihan lain seperti Kedah, Terengganu serta Selangor.
Namun Penang telah membuktikan bahawa sebuah pasukan ‘kerdil’ juga mampu untuk bercita-cita besar selepas menamatkan kempen musim ini di tangga ketiga.
Pencapaian itu dianggap cemerlang memandangkan Penang merupakan pendatang baharu Liga Super musim ini selepas muncul juara Liga Premier pada 2020.
Malah mereka turut mencipta sejarah sebagai rekod paling cemerlang sejak musim 2002 (dikenali Divisyen Satu) apabila Penang pada waktu itu menduduki tempat ke-4.
Lihat sahaja bagaimana aksi skuad kendalian Thomas Trucha itu dalam perlawanan terakhir menentang Terengganu tempoh hari.
Walaupun bermain dengan sepuluh pemain sejak minit ke-12 ekoran Abdul Latiff Suhaimi mendapat kad merah, Skuad Harimau Kumbang tetap mempamerkan semangat juang yang tinggi untuk meraih satu mata berharga bagi memastikan mereka menamatkan saingan di tangga ketiga.
Menurut ketua jurulatih Penang FC, Tomas Trucha, beliau sangat berpuas hati dengan pencapaian itu sambill menyifatkan kejayaan itu adalah untuk peminat yang sentiasa di belakang pasukan sepanjang musim ini.
“Banyak perkara yang hebat berlaku buat Penang pada musim ini dan menduduki tempat ketiga, saya harap kami boleh nikmati saat ini setelah beraksi sedaya upaya,” ujar jurulatih warga Republik Czech tersebut ketika ditemubual media MFL.
“Peminat-peminat telah menghantar pelbagai pesanan serta video yang saya sempat tunjukkan kepada pemain sebelum bermula, kejayaan ini adalah untuk mereka yang tidak dapat menyaksikan perlawanan ini selain ada peminat yang saya diberitahu meninggal dunia kerana Covid-19.
Ini sahaja yang kami mampu ucapkan dan ungkapkan tulus dari lubuk hati.
Tahniah atas segala usaha, keringat, masa, wang ringgit dan segala pengorbanan yang telah dibuat untuk Penang FC. Anda semua wira kami. 😊
💙🤍💛#HariaPenangHaria pic.twitter.com/4uWO5jYz7m
— Ultras Panthers (@UltrasPanthers) September 13, 2021
“Bagi mengulangi pencapaian ini untuk musim depan, saya dapat rasakan pasti sukar kerana banyak pasukan akan lebih berwaspada dengan Penang kerana mungkin ada sesetengah pasukan musim ini telah memandang rendah terhadap kekuatan kami.”
Argzim Redzovic meletakkan Terengganu di hadapan pada minit ke-25 sebelum Penang melakar kebangkitan sebelum menuju penghujung babak pertama melalui Sheriddin Boboev dan Casagrande.
Pemain tengah Terengganu, Lee Tuck menyelamatkan maruah pelawat dengan gol penyamaan pada minit ke-80 sekali gus mengesahkan kedudukan Terengganu FC di tempat keempat.
Penang sudah boleh berkira-kira untuk ke Asia pada musim depan. Sekiranya JDT atau Kedah yang menjuarai Piala Malaysia musim ini, tiket ke Piala AFC bakal menjadi milik mereka.
Peminat Penang tentunya amat mengharapkan gandingan mantap Trucha bersama pembantunya Manzoor Azwira dapat menghasilkan kejayaan yang lebih besa pada masa akan datang.