Sambut Kejuaraan Dengan Pertunjukan Bunga Api, Apa Ertinya Kepada Rakyat Johor?

JDT Bunga Api

Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi membuktikan keunggulan mereka dalam saingan domestik dengan meraikan kejuaraan Liga Super buat kali kelapan berturut-turut di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Kemenangan 2-1 ke atas Kuala Lumpur City melengkapkan musim gemilang skuad kendalian Benjamin Mora itu yang mengakhiri saingan liga musim ini dengan 57 mata, jauh meninggalkan pesaing terdekat, Kedah dengan perbezaan 14 mata.

JDT mengumpul 18 kemenangan, tiga seri dan tewas sekali. Hanya Terengganu sahaja yang berjaya menafikan rekod bersih mereka pada musim ini.

Kejayaan itu disambut dengan satu upacara yang cukup gilang-gemilang bermula dengan penyampaian trofi serta medal, diikuti oleh perarakan menggunakan bas dan pertunjukan bunga api di perkarangan stadium serba moden kebanggaan rakyat Johor itu.

Kemeriahan tersebut bukanlah perkara baharu buat JDT, pasukan itu sememangnya mengutamakan penyokong setia mereka apabila mahu meraikan kejayaan.

Tetapi ada segelintir pihak yang tertanya-tanya, apa signifikan meraikan kejayaan dengan pertunjukan bunga api?

Raja dan rakyat berpisah tiada

Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor telah diasaskan pada tahun 1895 di mana perlembagaan tersebut menjadikan Johor sebagai negeri Melayu pertama yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan.

Hal ini juga menunjukkan baginda Sultan Johor mempunyai hak kedaulatan ke atas negeri dan memperturunkan kuasanya sebagai pemimpin dalam bentuk panduan bertulis sebagai satu anugerah kepada Jemaah Menteri atau Majlis Mesyuarat Negeri yang hadir dari kalangan rakyat jelata.

Undang-undang ini telah digubal oleh Sultan Abu Bakar bersama pembesar negeri di Istana Besar Johor tidak lama sebelum kemangkatan baginda dengan tujuan agar dapat melibatkan rakyat untuk bersama-sama membantu Sultan dalam urusan pentadbiran negeri.

Ia merupakan satu isyarat jelas dari Tuanku baginda tentang kepentingan pihak istana untuk mengutamakan penglibatan rakyat dalam segala perkara termasuklah dalam usaha memajukan negeri dengan cara yang cekap dan tersusun.

Bukan kejayaan peribadi

Justeru itu, Tunku Mahkota Johor (TMJ), DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim selaku pemilik JDT juga melihat perkara yang sama dalam menguruskan kelab bola sepak. Beliau turut menggunakan khidmat rakyat untuk bersama-sama bekerja membangunkan pasukan.

Bagi menerapkan pengurusan profesional dalam pasukan, TMJ juga bertindak mengalu-alukan wakil penyokong JDT untuk duduk semeja ketika mesyuarat pengurusan agar pihak kelab mengambil maklum segala pandangan dan pendapat penyokong.

Maka kejayaan meraih lapan kejuaraan berturut-turut ini bukanlah kejayaan peribadi TMJ, bukan juga semata-mata kejayaan barisan kejurulatihan, pemain dan pekerja skuad Harimau Selatan, tetapi ia dianggap kejayaan seluruh rakyat negeri Johor.

Walaupun pihak MFL tidak membenarkan penyokong masuk ke dalam stadium bagi meraikan kejayaan pasukan kesayangan mereka disebabkan pendemik, JDT tetap memikirkan sesuatu perlu dilakukan bagi memberi peluang untuk bersama-sama meraikan dengan kaedah yang selamat.

Dengan acara ‘In-Car Viewing Party’ atau menonton sambutan dari dalam kereta, tidak timbul isu kesesakan atau risiko jangkitan kerana masing-masing dapat menyaksikan kemeriahan bunga api dengan selamat bersama keluarga masing-masing di dalam kereta.

Mungkin ada yang beranggapan ia sebagai pembaziran, tetapi tidak bagi TMJ yang mahu menghargai sokongan tidak berbela bahagi rakyat Johor yang sentiasa bersama pasukan sehingga hari ini.

Ia adalah bukti bahwa JDT merupakan sebuah kelab yang harmoni bermula dari pemilik di atas sehinggalah ke peringkat akar umbi iaitu penyokong.

Penutup

Keakraban TMJ dengan pemain serta penyokong setia JDT bukan lagi perkara yang asing, malah ia telah menarik perhatian peminat bola sepak di seluruh dunia bagaimana pendekatan baginda.

Mungkin latar belakang ketenteraan membuatkan konsep ‘no man left behind’ terlihat jelas dalam dirinya menjadikan beliau tidak kekok untuk bersikap mesra bersama-sama dengan penyokong setia JDT.

Ia jelas membuktikan bahawa baginda benar-benar berjiwa rakyat dan tidak kekok untuk turun ke padang dan berkongsi detik kegembiraan bersama-sama penyokong.

Tiada pengiring, tiada protokol kerana seperti titah Baginda, ‘TMJ milik anda semua penyokong JDT’. Keharmonian inilah yang menjadi antara tunjang kejayaan JDT. Perkara ini mungkin dilihat biasa tetapi percayalah ianya adalah kunci kepada semuanya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN