Masih ingat kritikan segelintir penyokong terhadap prestasi Baddrol Bakhtiar di awal musim lalu? Ketika itu, Kedah baru melalui dua perlawanan – menang dan kalah sekali, menyaksikan kudratnya hangat dipersoal.
Terikat 1-1 menentang Penang FC di Stadium Bandaraya, penulis berpeluang bertanyakan tentang kritikan terhadap kapten skuad Hijau Kuning itu kepada pengendali pasukan, Aidil Sharin Sahak secara terus.
Tegas Aidil Sharin sejurus perlawanan itu, “Saya rasa Baddrol [Bakhtiar] adalah pemain yang sangat berpengalaman. Saya rasa dia dapat mengawal situasi tersebut, walau apa pun yang beliau hadapi ketika ini.”
“Bagi saya, saya tidak risau. Baddrol telah banyak membantu pasukan dan sentiasa beri yang terbaik sebagai kapten pasukan dan dia adalah ketua dikalangan pemain. Hari ini kita melihat dia main lebih baik berbanding aksi sebelum ini. Saya tidak risau [prestasinya] dan dia sentiasa bersama saya membawa pasukan ke depan.
“[Jadi] saya sangat hargainya. Apa yang saya dapat katakan, dia akan bertambah baik selepas ini,” ujarnya.
Penegasan dan kepercayaan Aidil Sharin terhadap Baddrol Bakhtiar dibalas segera oleh arkitek berusia 33 tahun itu. Lima hari kemudian, berdepan PJ City FC di Stadium Darul Aman, beliau telah meledak gol dan membuat satu assist untuk membantu mereka membenam PJ City 3-1 – kemenangan kedua mereka.
Apa yang berlaku selepas itu adalah sejarah buat lagenda hidup Kedah itu. Beliau juga mencapai 120 gol peribadi bersama skuad Hijau Kuning pada Ogos lalu ketika mereka menang besar 4-1 ke atas Penang FC.
Dalam aksi terakhir Liga Super 2021 menentang Melaka United malam tadi, Baddrol bakhtiar muncul sebagai pemain terbaik perlawanan dan membantu mereka meraih kemenangan 4-1 untuk mengesahkan kedudukan kedua mereka dalam saingan liga musim ini serta tiket buat mereka untuk ke saingan Piala AFC 2022.
Selain itu, beliau juga muncul selaku penjaring terbanyak tempatan dengan tujuh gol peribadi musim ini.
⚽ PENJARING TERBANYAK LIGA SUPER 2021
Buat musim kedua berturut-turut, Ifedayo Omosuyi sah bergelar penjaring terbanyak Liga Super!
Penyerang Selangor FC ini menjaringkan 2️⃣6️⃣ gol, rekod baharu jumlah gol tertinggi dalam semusim Liga Super! 🔥#LigaSuper2021 pic.twitter.com/Uh0maBk2IV
— Malaysian Football League (@MFL_MY) September 13, 2021
Bercakap sejurus perlawanan malam tadi, Baddrol Bakhtiar berkata, “Seperti yang pernah saya katakan sebelum-sebelum ini, pasukan Kedah setiap tahun sentiasa akan ada masalah. Dan masalah itu kami anggap sebagai satu cabaran dalam karier bola sepak dan anggapnya satu motivasi dalam karier kami.”
“Tahun ini pun kami dilanda dengan pelbagai masalah. Kami satu pasukan mengharungi dengan begitu bersemangat. Dan pada akhirnya, kami kehilangan pula dua tonggak, Kpah Sherman dan Rabih Ataya.
“Tetapi kami anggap itu sebagai lumrah dalam bola sepak. Kami yakin dengan pasukan dan bermain dengan teamwork,” jelasnya lagi sambil menegaskan memang menjadi sasarannya untuk meledak tujuh gol.
“Sebelum ini dengan isu ‘Baddrol Bakhtiar tidak menjaringkan gol’, saya anggap itu sebagai satu lumrah dan saya ambil ia dari segi positif dan tetap fokus satu perlawanan ke satu perlawanan. Dalam kepala saya cuma ada, tahun ini saya mahu jaringkan tujuh gol dan pada malam ini, ia tercapai,” ujarnya lagi mengenainya.
Nombor tujuh sangat sinonim dengan dirinya selama ini dengan turut memakai jersi bernombor 7.